Isu Kampung Sg Baru: PN Ibarat ‘Tepuk Air Di Dulang, Terpercik Muka Sendiri’

KUALA LUMPUR, 11 April – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan (WP), Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menyifatkan tindakan Perikatan Nasional (PN) mengenai isu Kampung Sungai Baru seperti ‘tepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri’.

Ini kerana katanya, beliau bersetuju dengan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menuntut penjelasan dari dua orang bekas Menteri WP sebelum ini iaitu Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Ahli Parlimen WP, Datuk Seri Rina Harun.

“Saya amat bersetuju dengan kenyataan dari Tuan Ibrahim Tuan Man yang dikatakan sepatutnya menuntut penjelasan dari dua orang bekas Menteri WP sebelum ini iaitu Annuar Musa, Shahidan Kassim dan juga Rina Harun kerana didakwa pro, menyebelahi serta cenderung kepada pihak pemaju sebelum ini.

“Dakwaan ini dimaklumkan penduduk yang tertindas iaitu Pengerusi Jawatankuasa Sementara Penduduk Kampung Sungai Baru, Zainab Alias ketika perjumpaan bersama 23 Ahli Parlimen PN yang diketuai oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin baru-baru ini.

“Ramai Ahli-ahli Parlimen PN yang hadir seperti terkedu sebab dah ‘salah tembak’. Ingatkan nak tembak wakil rakyat dari UMNO atau kerajaan sekarang, tetapi onarnya dimulakan oleh ‘geng-geng’ mereka sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu berkata, perkara ini telah membuktikan bahawa pemimpin UMNO ‘bersih’ dalam isu Kampung Sungai Baru ini.

“Tindakan mereka ibarat ‘menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri’. Seingat saya ketika Datuk Seri Johari Ghani menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa, beliau pernah mencadangkan kepada penduduk yang terlibat agar tidak menerima tawaran berkonsepkan ‘joint venture (JV)’ daripada pemaju disebabkan faktor kewangan syarikat.

“Akhir kata, dengan kenyataan ini ianya ibarat Hamzah Zainuddin ‘membuka pekung dan tembak’ kawan-kawan sendiri yang berada dalam PPBM dan Pas. Kesian kerana tak pasal-pasal nama kena sungkit dan naik dalam perjumpaan semalam. Alhamdullilah nama pemimpin UMNO bersih dalam isu Kampung Sungai Baru ini,” katanya lagi.

Pada Khamis media melaporkan Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat ada kewajaran bagi pihak yang terlibat dengan isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur ketika pentadbiran PN untuk memberi penjelasan.

Menyifatkan pengambilan tanah di situ sebagai isu lama, Tuan Ibrahim berkata penjelasan daripada pihak berkenaan diperlukan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit