NS7WONDERS Challenge 2.0 Kembali: Promosi Gaya Hidup Sihat Dan Pelancongan Negeri Sembilan
PALONG, 10 April – Exco Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Datuk Mustapha Nagoor atau lebih dikenali sebagai Pak Mus mengumumkan penganjuran Negeri Sembilan Seven Wonders Challenge 2.0: Road to HSN 2025 dalam satu sidang media semalam.
Ujarnya, program yang diteruskan susulan kejayaan edisi pertama pada tahun 2024 itu bakal berlangsung selama tujuh bulan di tujuh daerah seluruh Negeri Sembilan.
“Edisi lalu berjaya menarik lebih 10,000 penyertaan dari pelbagai lapisan masyarakat, dan tahun ini pihak penganjur menyasarkan 1,500 peserta bagi setiap lokasi.
“NS7WONDERS Challenge 2.0 mengetengahkan keindahan dan keunikan alam semula jadi Negeri Sembilan menerusi aktiviti mendaki dan larian denai, sekaligus menggalakkan gaya hidup sihat serta semangat kesukanan,” katanya.
Ujar beliau, program ini juga merupakan inisiatif menyokong sambutan Hari Sukan Negara 2025, Bulan Malaysia Sihat Sejahtera, dan sebagai pemangkin promosi menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
“Insya-Allah, kita jadikan NS7WONDERS Challenge acara tahunan yang dinanti-nantikan, menyatukan rakyat, mempromosi kecantikan Negeri Sembilan, dan memupuk semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat,” kata Datuk Mustapha.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri, dan para penaja termasuk Matrix, Jantz, 100Plus, Anstech, Warrix, Jempol Bakery, Himalaya serta Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan yang terus menyokong program ini.
Berikut jadual lokasi dan tarikh NS7WONDERS Challenge 2.0:
• Bukit Bosar Bayai, Jempol – 19 April 2025
• Gunung Berembun, Seremban – 10 Mei 2025
• Bukit Ramunia, Gemencheh, Tampin – 14 Jun 2025
• PD Forest Sg Menyala, Port Dickson – 12 Julai 2025
• Bukit Bagindo, Kuala Pilah – 9 Ogos 2025
• Bukit Batu Sawa, Jelebu – 6 September 2025
• Gunung Datok, Rembau – 4 Oktober 2025 – UMNO Online