PRK Ayer Kuning: Calon BN Berpendidikan, Disenangi Masyarakat Setempat
TAPAH, 11 April – Calon yang diketengah Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning merupakan seorang yang berpendidikan dan disenangi masyarakat setempat.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Muhammad Fareezad Khairuddin berkata, penting untuk parti mengetengahkan calon-calon berkualiti agar rakyat di kawasan tersebut mendapat manfaat.
“Saya lihat calon yang diketengahkan pada kali ini sangat baik kerana beliau merupakan seseorang yang berlatarbelakang pendidikan. Kita sedia maklum, di Tapah ini kebanyakannya adalah masyarakat luar bandar. Mereka mungkin mempunyai masalah akses dari segi kesedaran pendidikan dan sebagainya.
“Penting untuk kita mengetengahkan calon-calon yang ada ‘background’ pendidikan supaya anak-anak muda di sini akan terus berkembang. Bukan sahaja menjadi seseorang yang berpendidikan, tetapi memberi khidmat balik kepada komuniti setempat.
“Saya difahamkan Dr Ustaz Yusri Bakir merupakan orang lokal dan juga sangat disegani dan selesa berkawan dengan semua orang tanpa mengira kelompok ataupun peringkat umur. Itu merupakan satu ciri-ciri calon yang baik diketengahkan oleh BN pada kali ini,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO akan memberikan penerangan sebaik mungkin kepada anak-anak muda sepanjang tempoh berkempen untuk menepis segala sentimen dimainkan pihak lawan.
“Untuk Pemuda, kita akan terus menjalankan gerak kerja seperti memberikan penerangan sebaik mungkin khususnya kepada anak-anak muda. Ini kerana apabila banyak sangat sentimen yang berlegar di media sosial umpamanya, ia akan menyebabkan pelbagai reaksi.
“Saya bersama rakan-rakan akan merancakkan lagi promosi dan juga penerangan bagaimana Kerajaan Perpaduan ini ditubuhkan atas dasar perintah Yang di-Pertuan Agong sendiri. Ini merupakan salah satu cara untuk menunjukkan bahawa UMNO ini sentiasa mengutamakan negara melebihi kepentingan individu atau parti.
“Itu sebenarnya satu mesej yang perlu ramai anak muda sekarang faham dan sedar sebelum mereka memilih apabila masuk dalam tempoh pilihan raya,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar BN dapat menawan kerusi DUN Ayer Kuning dan terus kekal dominan di samping membawa nilai perpaduan agar ia dapat dirasai oleh anak-anak muda.
“Harapan saya… disebabkan kawasan DUN Ayer Kuning ini merupakan tempat yang agak menarik, komposisi kaumnya mempunyai tiga cabang utama. Ada Melayu lebih 50 peratus, Cina 20 peratus dan India 14 peratus. Ini merupakan satu kawasan yang secara tidak langsung melambangkan bagaimana komposisi kaum di Malaysia.
“Sepatutnya, kawasan ini menjadi satu contoh untuk tempat-tempat yang akan berlaku pilihan raya pada masa akan datang supaya UMNO terus dominan. Bukan sahaja terus dominan, malah nilai perpaduan yang kita bawa kali ini dapat dirasai oleh semua anak muda,” katanya lagi.
Terdahulu Dr Ustaz Yusri Bakir, 54, telah diumum sebagai calon BN untuk PRK DUN Ayer Kuning.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN yang berlangsung di sini, pada Isnin.
Beliau merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah dan berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh.
Yusri juga merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari UPSI dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah. – UMNO Online