Pelan Transformasi Lonjak MARA Sebagai Institusi Terunggul – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 10 April – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan Pelan Transformasi dilakukan dalam melonjakkan MARA sebagai institusi terunggul bagi memartabatkan agenda Melayu-Bumiputera.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, bagi tujuan ini dua pasukan khas utama ditubuhkan.

“Pelan Transformasi ini penting bagi melonjakkan MARA menjadi institusi terunggul dalam memartabatkan agenda Melayu-Bumiputera.

“Dua pasukan khas utama iaitu yang pertama diketuai oleh Ahli Majlis MARA Tan Sri Muhammad Ibrahim bekas Gabenor Bank Negara Malaysia untuk melakukan perubahan menyeluruh aspek kewangan dan tadbir urus korporat MARA.

“Kedua, Tan Sri Profesor Noor Azlan Ghazali bekas Naib Chanselor UKM dan Ketua Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk mengetuai pasukan memperkasakan agenda pendidikan dan keusahawanan bumiputera MARA,” katanya.

Dr Asyraf berkata demikian menerusi hantaran di Facebook bagi berkongsi sesi khas Ahli Majlis MARA dan Pengurusan Tertinggi MARA membentangkan Pelan Transformasi MARA kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, semalam.

Menurut beliau, kedua-dua pasukan khas Pelan Transformasi MARA ini akan membantu Ketua Pengarah MARA yang baharu iaitu Datuk Zulfikri Osman dan barisan pengurusan tertinggi MARA.

Katanya ia bagi melakukan pembaharuan dan penambahbaikan kepada MARA dan anak-anak syarikat MARA termasuk MARA Corp dan 32 anak-anak syarikat di bawahnya.

“Alhamdulillah, usaha ini diiktiraf dan diabsahkan oleh Menteri untuk dilaksanakan segera.

“Mudah-mudahan MARA yang merupakan konglemerat Melayu-Bumiputera dengan kakitangan berjumlah hampir 18,000 dapat terus diperkasakan untuk menjadi institusi yang cemerlang, unggul lagi dihormati,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit