UMNO Sabah Cadang Tubuh RCI Semak Pemberian Lesen Cari Gali dan Perlombongan
Kota Kinabalu, 9 April – UMNO Sabah mencadangkan agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyemak keseluruhan sistem pemberian lesen cari gali dan perlombongan di negeri itu.
Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Ahir Zaman berkata, langkah itu perlu bagi memastikan proses kelulusan lesen dilakukan secara telus dan tidak disalahgunakan oleh pihak tertentu.
“UMNO Sabah juga menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan bebas dan menyeluruh terhadap keseluruhan proses pemberian lesen cari gali dan perlombongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa agar semua lesen yang telah dikeluarkan sejak tahun 2023 dibekukan serta-merta sehingga siasatan berhubung dakwaan rasuah dalam sistem tersebut selesai sepenuhnya.
Datu Rosman turut mempersoalkan bagaimana terdapat syarikat yang mengalami kerugian dan hanya menukar bidang perniagaan kepada ‘eksplorasi mineral’ selepas memohon lesen, boleh diberikan akses kepada kawasan perlombongan yang begitu luas.
Katanya, pendedahan ini menimbulkan keraguan terhadap ketelusan dan integriti dalam sistem pemberian lesen cari gali serta memerlukan tindakan segera pihak berkuasa untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa berlaku. – UMNO Online