Manfaatkan Mesyuarat Cawangan Bincang Hal Kekeluargaan UMNO – Mohd Rafi

KUALA LUMPUR, 9 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan mengucapkan selamat bersidang kepada semua anggota akar umbi parti yang bakal memanfaatkan ruang dengan mengadakan mesyuarat cawangan di seluruh negara dalam tempoh yang bemula Isnin lalu.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar mesyuarat cawangan UMNO kali ini diaplikasi sebaik mungkin sebagai ruang kekeluargaan untuk membincangkan hala tuju dan masa depan parti secara terbuka, ikhlas dan penuh semangat perjuangan.

“Selamat bersidang kepada semua anggota akar umbi UMNO di peringkat cawangan. Jadikan mesyuarat ini sebagai ruang kekeluargaan yang membincangkan masa depan keluarga kita demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Ujar beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, kekuatan UMNO selama ini adalah kerana ia merupakan sebuah parti yang tersusun, mempunyai struktur organisasi yang kukuh, berperlembagaan serta berpegang kepada etika perjuangan yang jelas.

“UMNO bukan sekadar sebuah parti politik biasa. Ia mempunyai organisasi yang tersusun, perlembagaan yang kukuh, serta etika yang menjadi panduan kepada semua peringkat ahli. UMNO juga mempunyai sejarah perjuangan yang panjang dalam membela rakyat dan memartabatkan agama, bangsa serta negara.”

Mohd Rafi turut mengingatkan bahawa mesyuarat cawangan merupakan medan penting untuk memperkukuhkan semangat setiakawan dan memperteguhkan perpaduan dalam kalangan ahli, di samping memastikan parti terus relevan dan dekat dengan denyut nadi rakyat.

Beliau berharap agar semua pimpinan dan ahli di peringkat akar umbi terus bersatu hati, memperkukuh iltizam, dan tidak mudah terpengaruh dengan unsur yang boleh memecah-belahkan kesatuan parti.

“Gunakanlah kesempatan mesyuarat ini untuk memperbetulkan apa yang kurang, memperkukuh apa yang sudah baik, dan memperbaharui semangat perjuangan kita dalam menghadapi cabaran masa depan,” tambahnya lagi.

Mesyuarat cawangan UMNO yang berlangsung setiap tahun merupakan antara komponen penting dalam proses demokrasi dalaman parti itu, yang menjadi asas kepada pemilihan pimpinan dan hala tuju UMNO secara menyeluruh.

Persidangan cawangan UMNO berlangsung sehingga 25 Mei yang akan disusuli mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian bermula 9 Jun hingga 27 Julai.

Menyusul kemudian ialah Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit