Konsisten Itu Prinsip, Hipokrasi Itu Pas – Zaidi
SHAH ALAM, 8 April – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Zaidi Md Zain menyelar tindakan pemimpin Pas yang didakwanya bersikap hipokrit dalam isu kehadiran ke rumah ibadat bukan Islam, sambil mengingatkan bahawa rakyat hari ini tidak mudah lagi diperbodohkan dengan sandiwara politik berlabel agama.
Beliau merujuk kepada tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih daripada Pas yang baru-baru ini hadir ke sebuah kuil Hindu atas alasan ‘menyantuni masyarakat’ dan sebagai simbol perpaduan serta keharmonian.
Menurut Dr Zaidi, beliau secara peribadi tidak mempunyai masalah terhadap mana-mana pemimpin yang menunjukkan rasa hormat dan kepimpinan dengan hadir ke rumah-rumah ibadat bukan Islam, selagi ia dilakukan dengan adab dan niat untuk merapatkan hubungan antara kaum.
Namun, tegas beliau, sikap ‘double standard’ yang diamalkan oleh Pas selama ini menimbulkan persoalan tentang keikhlasan parti itu dalam membawa mesej Islam secara konsisten.
“Masalahnya, bila Pas yang buat maka semuanya halal. Tapi bila orang lain buat, semuanya sesat. Dua situasi yang sama, tapi satu dihukum, satu dimuliakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Zaidi turut mengingatkan rakyat terhadap kenyataan-kenyataan keras yang pernah dikeluarkan oleh pemimpin Pas sebelum ini terhadap pemimpin UMNO dan Pakatan Harapan yang hadir ke majlis keagamaan bukan Islam.
“Pas adalah yang pertama memetik dalil, yang pertama menuduh sesat dan rosak akidah. Tetapi bila pemimpin Pas sendiri buat perkara yang sama? Semua jadi okay, semua jadi maqasid. semua jadi ‘dakwah berhikmah’,” sindir beliau.
Tambahnya lagi, rakyat kini sudah bijak menilai dan mampu membezakan antara pemimpin yang benar-benar berprinsip dengan mereka yang hanya berpura-pura membawa perjuangan Islam ketika musim pilihan raya.
“Pas boleh beri seribu alasan. Tulis panjang untuk bela tindakan sendiri. Hantar gambar dan caption penuh istilah Arab. Tapi rakyat nampak yang Pas hanya konsisten dalam satu perkara iaitu membenarkan apa yang mereka sendiri pernah haramkan,” katanya.
Beliau turut menyeru ADUN Semenyih dan kepimpinan Pas agar berlaku jujur terhadap tindakan mereka serta tidak memutarbelitkan agama demi kepentingan politik.
“Kalau benar niat kamu ikhlas, akui bahawa kamu juga pernah menghukum orang atas perkara yang kini kamu lakukan. Kalau mahu dihormati sebagai wakil rakyat, bersikap jujur dan konsisten. Jangan jadikan Islam itu slogan musim pilihan raya,” tegasnya.
Mengakhiri kenyataannya, Dr Zaidi mengingatkan bahawa agama bukan alat politik dan rakyat tidak harus dihina dengan sandiwara yang mempersendakan kecerdikan mereka.
“Mereka tahu beza antara pemimpin berprinsip, dan pelakon politik berskrip agama,” katanya lagi. – UMNO Online