Mengangkat TVET Sebagai Pemacu Kesejahteraan Negara – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 8 April – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi dianggap sebagai laluan kedua, sebaliknya kini diangkat sebagai pemacu utama dalam menjana kesejahteraan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Presiden UMNO yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET) berkata, TVET berperanan penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa depan seperti semikonduktor, automasi, dan tenaga boleh diperbaharui.
“TVET kini menjadi antara strategi utama negara dalam menyediakan modal insan yang berkualiti, setanding dengan kehendak industri berteknologi tinggi. Ini sejajar dengan aspirasi negara untuk membina ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya selepas mempengerusikan Mesyuarat MTVET pertama bagi tahun 2025, hari ini.
Jelasnya, antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut termasuk pembangunan teknousahawan TVET, pelaksanaan Data Raya TVET, penarafan tunggal program TVET, serta dapatan penilaian akreditasi Program Diploma Vokasional Malaysia (DVM).
Menurut Ahmad Zahid, langkah-langkah tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik Kerajaan Perpaduan dalam memperkukuh ekosistem TVET negara secara menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, akan menganjurkan ASEAN TVET Council (ATC) Regional Policy Dialogue sempena Hari TVET Negara 2025 pada bulan Jun ini.
“Ini adalah bukti komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang TVET dan melahirkan tenaga kerja yang kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
Ahmad Zahid turut menyeru semua pihak termasuk kementerian, industri, dan masyarakat agar memainkan peranan aktif dalam menjayakan agenda TVET sebagai teras pembangunan negara. – UMNO Online