UMNO Pusat Dan UMNO Selangor Nafi Salah Guna Wang SRC, Tiada Unsur Penyelewengan – Peguam

KUALA LUMPUR, 9 April – Perbicaraan kes saman SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd (JPSB) terhadap Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bersambung selama dua hari bermula pada 7 hingga 8 April.

Semasa pemeriksaan balas oleh Peguam UMNO, Shahrul Fazli Kamarulzaman berkata Setiausaha Kerja (SUK) UMNO, Datuk Sumali Reduan telah hadir ke Mahkamah sebagai saksi tunggal UMNO.

Ujarnya, perbicaraan ini telah selesai dan telah menutup kedua-dua kes yang seterusnya akan pergi ke peringkat hujahan yang dijadualkan pada 1 Julai nanti.

“Beliau (Sumali) telah beri keterangan dalam sesi soal jawab dengan padu dan telus serta menjelaskan pendirian UMNO Pusat tentang penerimaan wang daripada anak syarikat SRC Jendela Pinggiran Sdn Bhd (JPSB) bernilai RM 16 juta dan juga pembelaan yang diambil oleh UMNO Pusat.

“Di sini keterangan yang diberikan oleh Sumali merangkumi bahawa UMNO Pusat tiada penglibatan dengan proses atau keputusan diperingkat syarikat mereka Jendela Pinggiran atau SRC tentang wang dana RM 16 juta yang telah diberikan pada UMNO.

“UMNO Pusat menerima wang tersebut dan kekal terima wang tersebut atas dasar derma dan sumbangan kepada parti. Beliau juga telah menjelaskan kegunaan dan perbelanjaan RM16 juta daripada Jendela Pinggiran ini adalah untuk aktiviti parti, pengurusan parti, program-program amal dan kebajikan dan semuanya menjurus kepada persiapan memasuki pilihan raya,” katanya kepada UMNO Online.

Terangnya, setelah disoal balas oleh peguam SRC, Sumali tegas mengatakan bahawa wang RM16 juta tersebut telah pun memasuki akaun UMNO dan bercampur dengan dana simpanan UMNO yang lain.

“Oleh kerana itu penggunaannya telah digunakan selaras dengan perlembagaan parti.”

Maklumnya, tugas-tugas penggunaan dan kunci kira-kira serta juga penyata kewangan semuanya telah dibuat dengan teratur mengikut Perlembagaan UMNO.

“Beliau (Sumali) telah memberikan satu kesimpulan yang baik iaitu sebenar-benarnya UMNO Pusat dan UMNO Selangor menerima wang tersebut dengan suci hati tanpa ada kekhuatiran dan keraguan tentang urusan kesahihan wang tersebut kerana sehingga hari belum ada apa-apa kepastian dana yang diterima oleh kedua-dua pihak ini adalah wang tidak elok atau pun yang disalahgunakan.

“Sebenarnya, UMNO adalah mangsa kerana telah menerima dan ‘dimangsakan’ oleh kesalahan dan salah laku oleh pihak-pihak lain yang datang bukannya daripada UMNO.”

Jelasnya, di peringkat UMNO Selangor telah diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

“Beliau (Megat) sekali lagi menegaskan pendirian yang sama sepertima SUK UMNO. Kedua-dua adalah penerima sahaja dan merasakan bahawa tidak perlu disalahkan kerana wang tersebut telah habis dibelanjakan secara telus mengikut ketetapan dan kegunaan parti.

“Saya merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada kedua-dua saksi UMNO Pusat dan UMNO Selangor atas kesediaan dan kesungguhan mereka mewakili UMNO dan membawa pembelaan dan penjelasan bukan saja bagi pihak parti tetapi juga untuk semua pihak ahli-ahli UMNO yang juga terkesan dengan tuntutan ini.

“SRC dan anak syarikatnya mengatakan bahawa UMNO Pusat dan UMNO Selangor telah menerima dana keseluruhannya RM19.5 juta secara salah. Itu telahpun dinafikan dan telah dijawab dengan baik oleh kedua-dua saksi UMNO. Kita mengharapkan pihak mahkamah mengambil kira keterangan mereka ini dan Insya Alllah, harapkan keputusan menyebelahi UMNO Pusat dan UMNO Selangor. Yang pastinya kita dapat terus ‘move on’ daripada perkara dan isu ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit