Jadikan Persidangan Medan Bertukar Pandangan – Pemuda UMNO Lahad Datu
KUALA LUMPUR, 9 April – Inilah masanya untuk semua ahli UMNO mengambil kesempatan perkemaskan segala gerak kerja, menyusun pandangan dan saling bertukar fikiran menerusi persidangan peringkat cawangan yang bermula di seluruh negara pada 7 April.
Demikian kata Bendahari Pemuda UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu.
Menurut beliau peluang yang terbuka luas itu membolehkan masing-masing mendengar pendapat serta bertukar pandangan antara satu sama lain.
“Semoga dapat mengemaskan lagi gerak kerja kita dengan lebih strategik, bertukar pendapat dan luahan daripada akar umbi untuk membetulkan dimana kecacatan yang timbul.
“Inilah masanya kita mendengar serta memperbetulkan segala kepincangan parti kita. Semoga Allah permudahkan segala urusan kita semua,” katanya kepada UMNO Online.
Kata beliau lagi yang juga Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu, persidangan kali ini juga diharap dapat mengukuhkan lagi akar umbi pergerakan itu sebagai sayap parti dalam usaha membantu UMNO bergerak ke hadapan dengan lebih kukuh.
“Selamat bersidang kepada semua perwakilan UMNO di seluruh tanah air, semoga tempoh persidangan kali ini dapat memberikan idealogi yang baharu buat kita, dapat memperkukuhkan lagi akar umbi serta menambahkan lagi semangat kita untuk terus berjuang,” ujarnya. – UMNO Online