Sambutan Raya Sekampung Eratkan Perpaduan Masyarakat – Awang Aslee
BEAUFORT, 7 April – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, memenuhi jemputan ke Majlis Sambutan Raya Sekampung di Kampung Palu-Palu, Kuala Penyu dan menyantuni masyarakat setempat.
Majlis yang dianjurkan bersama oleh KRT Kampung Palu-Palu, Masjid Nurhidayah, JPKK Kampung Palu-Palu, dan Persatuan Masyarakat Berunai Sabah (PMBS) Kuala Penyu Sabah ini telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching merangkap Pengerusi Risda Semai dan Landskap.
Ujar Awang Aslee, Sambutan Hari Raya Sekampung ini telah menjadi acara tahunan yang dinantikan orang ramai setiap kali Syawal tiba.
Beliau menekankan betapa pentingnya majlis seperti ini dalam mengeratkan silaturrahim, memupuk kebersamaan, dan menyantuni setiap lapisan masyarakat.
“Sebagai seorang pemimpin, saya percaya bahawa majlis seperti ini adalah waktu terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat,” ujarnya kepada UMNO Online.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para penganjur dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program melibatkan rakyat sedemikian.
“Tahniah Pengerusi Masjid Nurhidayah Kampung Palu-Palu, Tuan Haji Mardan Dahlan merangkap Pengerusi Majlis kerana berjaya melangsungkan majlis ini sekaligus menyatukan silaturrahim yang sedia ada.
“Sambutan yang penuh meriah ini menjadi bukti jelas betapa pentingnya semangat kebersamaan dan perpaduan dalam membina masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera. Semoga ukhuwah yang terjalin terus mekar dan diberkati oleh Allah SWT,” katanya lagi.
Terdahulu Awang Aslee bersama ahli jawatankuasanya telah saya berkesempatan menziarahi ahli keluarga Allahyarhamah Tubi Salleh, iaitu ibu kepada Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Bahagian Beaufort, Jalima Sion yang telah kembali ke rahmatullah pada 3 April lalu.
Dalam lawatan tersebut, beliau juga turut berkesempatan menziarahi Sion Mastar, suami kepada Allahyarhamah Tubi, yang kini berusia 94 tahun.
“Seterusnya, saya juga menziarahi keluarga Allahyarham Awang Tengah Mahit yang telah meninggal dunia pada 4 April 2025. Beliau adalah mantan Ketua Cawangan Kampung Kemanisan, Kuala Penyu.
“Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar bagi kami, khususnya di kalangan ahli UMNO/BN Parlimen Beaufort. Allahyarham merupakan seorang pejuang yang setia. Semoga Allah SWT merahmati pemergiannya.” – UMNO Online