SWP Komited Membantu Mangsa Tragedi di Putra Heights – Dr Masliha Harun

KUALA LUMPUR, 8 April – Dalam kesibukan umat Islam membuat persiapan Aidilfitri, Sekretariat Wanita Profesional (SWP) membuktikan komitmen luar biasa dengan segera tampil membantu mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights yang berlaku pada 1 April lalu.

Pengerusinya, Dr. Masliha Harun berkata, pihaknya terpanggil untuk menghulurkan bantuan segera kepada mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Masjid Putra Heights.

“Kesedihan mereka adalah tanggungjawab kita bersama. SWP hadir bukan sekadar memberi sumbangan, tetapi menyampaikan harapan dan sokongan moral.

“Syabas dan tahniah kepada seluruh pasukan SWP yang terus cekal dan tangkas membantu masyarakat. Semoga usaha ini menjadi amal jariah yang berterusan dan inspirasi buat semua.

“Pasukan ini turun padang menyampaikan sumbangan keperluan asas dan sokongan kepada mangsa yang terkesan, membuktikan bahawa semangat kemanusiaan tidak mengenal waktu mahupun perayaan,” katanya.

Dilaporkan, pada Selasa lalu iaitu pagi Syawal kedua, negara dikejutkan dengan tragedi letupan besar di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Selangor. Letupan berpunca daripada kebocoran saluran paip gas yang mengakibatkan keadaan huru hara di sekitarnya.

Kebakaran yang berpunca daripada kebocoran paip gas sekali gus menyebabkan kebakaran saluran sepanjang 500 meter (m).

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor memaklumkan kerja-kerja pemindahan penduduk dilakukan berikutan kebakaran tersebut berlaku berhampiran kawasan perumahan awam. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit