Maritim Malaysia Komited Jaga Keselamatan Perairan Negara – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) komited dan sentiasa bersiapsiaga untuk menjaga keselamatan perairan negara daripada sebarang ancaman.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau berpeluang untuk bersama pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi Op Khas Pagar Laut Bil 1/2025 pada Rabu.

“Hari ini saya berpeluang untuk bersama pegawai dan anggota Maritim Malaysia dengan menaiki Kapal Maritim Pekan yang sedang melaksanakan operasi Op Khas Pagar Laut Bil 1/2025 bagi membanteras jenayah rentas sempadan dan pencerobohan terutamanya di perairan Pahang menjelang sambutan Aidilfitri.

“Operasi ini telah diaktifkan bermula pada 10 Mac sehingga 18 April 2025 melibatkan empat fasa utama iaitu pengumpulan maklumat dan kesiapsiagaan aset, penguatkuasaan sebelum serta selepas perayaan termasuk pemantauan berterusan melalui Post Exercise Debrief (PXD),” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan bahawa Maritim Negeri Pahang juga sedang bersiap siaga untuk Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

“Maritim Negeri Pahang juga bersiap siaga untuk CARILAMAT bagi memastikan kesejahteraan rakyat di seluruh perairan Pahang.

“Operasi ini adalah bukti komitmen dan kesiapsiagaan anggota Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara daripada sebarang ancaman seperti penyeludupan, pencerobohan nelayan asing serta kegiatan jenayah maritim lain yang boleh mengancam keselamatan dan ekonomi negara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan penghargaan di atas pengorbanan yang telah dicurahkan oleh anggota Maritim Malaysia untuk menjaga keselamatan perairan Pahang.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang saya begitu menghargai pengorbanan yang dicurahkan oleh anggota Maritim Malaysia dalam memastikan perairan Pahang sentiasa selamat, aman dan terkawal.

“Terima kasih kasih juga atas peluang dan pengalaman ini terutamanya dapat berbuka puasa bersama anggota Maritim Malaysia di atas kapal di tengah samudera,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit