Kerajaan Negeri Johor Salur Bantuan Khas Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025
JOHOR BAHRU, 26 Mac – Kerajaan Negeri Johor mengumumkan peruntukan bantuan khas kewangan berjumlah lebih RM37 juta bagi membantu rakyat negeri ini menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Bantuan tersebut merangkumi pelbagai golongan termasuk mangsa banjir, golongan asnaf, imam dan bilal, mahasiswa, serta barisan hadapan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata bahawa bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban rakyat dalam membuat persiapan menyambut perayaan Aidilfitri.
Sebagai langkah utama, katanya bantuan khas kewangan bencana banjir Monsun Timur Laut (MTL) sebanyak RM11.2 juta akan disalurkan kepada 3,749 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan setiap keluarga akan menerima RM3,000 dan pembayaran dijadualkan pada 27 Mac 2025.
“RM18,477,350.00 bagi Bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada 90,439 penerima asnaf fakir dan miskin. Bantuan ini telah mula disalurkan pada awal Mac dan dijangka selesai pada minggu terakhir sebelum Hari Raya Aidilfitri.
“RM1,500,000.00 bagi Bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada 5,000 orang saudara kita dan Orang Asli dari asnaf muallaf,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, jelasnya, seramai 6,970 imam dan bilal di Johor turut menerima bantuan one-off sebanyak RM500, dengan jumlah keseluruhan RM3.4 juta. Bantuan RM500 juga akan diberikan kepada 646 Ketua Kampung, 43 Batin Orang Asli, dan 26 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli, melibatkan peruntukan keseluruhan lebih RM357,000.
“Di samping itu, bagi memastikan mahasiswa anak Johor dapat pulang beraya bersama keluarga, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM70,000.00 untuk Tajaan Pengangkutan Mahasiswa Anak Johor Pulang ke Kampung, menyediakan 30 bas untuk membawa 550 mahasiswa.
“Seterusnya, bagi meringankan beban rakyat dalam membuat persiapan Aidilfitri, Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM1,600,000 untuk Jualan Kasih Johor, yang berlangsung di 57 lokasi dari 22-29 Mac, memberi manfaat kepada 200,000 pengunjung dan menyokong lebih 300 usahawan tempatan.”
Beliau juga memaklumkan, RM787,050 diperuntukkan bagi inisiatif bakul makanan Aidilfitri yang akan diagihkan kepada 15,741 penerima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK).
“Sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan serta petugas kesihatan, Kerajaan Negeri Johor turut mengumumkan Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM5,490,100.00 kepada 54,901 anggota barisan hadapan yang berkhidmat di negeri ini, merangkumi 12,982 anggota polis, 8,978 anggota tentera, 1,335 anggota bomba, 1,144 anggota JPAM, 3,529 petugas di CIQ BSI dan KSAB, serta 26,933 doktor dan jururawat.”
Dalam pada itu katanya, seramai 20,821 penjawat awam negeri, termasuk mereka yang berkhidmat di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri, akan menerima Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM1,000 yang akan disalurkan pada minggu pertama Syawal.
“Kerajaan Negeri berharap bantuan ini dapat membantu rakyat Johor dalam persiapan menyambut Aidilfitri serta menjadi dorongan kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan dedikasi demi kemajuan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor,” Onn Hafiz lagi. – UMNO Online