Pengamal Perubatan Alternatif Antara Penggiat Ekonomi Gig Yang Harus Diperjuangkan – Sharkar

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Pengerusi Sekretariat Ekonomi Gig UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata bidang perubatan alternatif di negara ini bukan sahaja harus diperkasa malah harus diiktiraf peranannya.

Menurut beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, langkah berkenaan seiring dengan peranan yang dimainkan oleh industri berkenaan dalam kualiti kesihatan masyarakat yang selari dengan perubatan terkini.

“Kita melihat sambutan masyarakat begitu baik terhadap perubatan alternatif ini sehingga tertubuhnya persatuan, pertubuhan perubatan serta organisasi yang menghimpunkan lebih 60,000 pengamalnya di seluruh negara pada ketika ini.

“Perkembangan kaedah rawatan ini turut memberi impak kepada penurunan masalah kesihatan dalam komuniti. Bagaimanapun sehingga kini, perubatan alternatif tidak begitu diperkasakan terutama dalam mengiktiraf pengamalnya,” katanya.

Terdahulu, beliau dikunjungi wakil Persatuan Perubatan Integratif Islam Malaysia diketuai Pengerusinya, Behzari Aman dan Timbalan Pengerusi, Mohamad Saifullah Yusoff.

Mohd Sharkar seterusnya menambah, permintaan terhadap perubatan alternatif dilihat meningkat mendadak sehinggakan wujud pelbagai jenis bentuk rawatan alternatif di negara ini.

“Pengamal perubatan Islam misalnya, golongan ini perlu berdaftar dengan pihak berwajib dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka boleh didenda dan juga dipenjarakan,” tambahnya.

Kata Mohd Sharkar lagi mereka yang terlibat dalam industri berkenaan juga tergolong dalam industri gig ekonomi selain e-hailing, p-hailing dan sebagainya lagi.

“Bagi kita pengamal perubatan alternatif juga perlu diiktiraf dan diperjuangkan nasib serta sumbangan mereka. Seharusnya, profesion ini perlu turut diperkasakan, dilindungi mata pencarian dan kebajikan kerana mereka juga sebahagian daripada lebih 1.16 juta penggiat ekonomi gig di negara ini,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit