UMNO Kedah Tetap Komited, Fokus Laksana Gerak Kerja – Shaiful Hazizy
KUALA LUMPUR, 25 Mac – UMNO Negeri Kedah tetap komited dan fokus untuk melaksanakan gerak kerja politik yang diperlukan, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
Menerusi satu kenyataan, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok menyanggah naratif pengarang salah sebuah akhbar yang mendakwa bahawa UMNO semakin pupus di Negeri Kedah.
“UMNO Kedah melihat komentar pengarang salah sebuah akhbar tempatan sebagai satu telahan kurang tepat tanpa berpaksikan fakta dan situasi sebenar.
“Menyedari hakikat bahawa masih panjang jalan yang berliku serta cabaran besar yang bakal menanti, namun UMNO Kedah tetap komited dan fokus menggerakkan gerak kerja politik yang diperlukan.
“Adalah tidak adil untuk penulis menjadikan faktor dan prospek kepimpinan lalu terus mengandaikan bahawa UMNO Kedah akan ‘pupus’,” katanya.
Ujarnya, UMNO pada ketika ini ditunjangi oleh pemimpin dan ahli yang masih setia sekaligus ‘menguburkan’ impian mana-mana pihak yang ingin menyaksikan parti ini ‘pupus’.
“UMNO punyai cabaran dan tatacaranya yang tersendiri dalam memilih serta membentuk kepimpinan. Sehubungan itu, UMNO Kedah ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Mahdzir Khalid, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah atas pengorbanan dan kepimpinan yang ditunjukkan dalam memimpin UMNO Kedah mengharungi zaman getir politik semasa.
“UMNO Kedah insaf dan kekal bermuhasabah dan menerima keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dengan hati yang terbuka.
“Hakikatnya UMNO masih ditunjangi pemimpin dan ahli yang masih setia. Pada masa sama ‘menguburkan’ impian mana-mana pihak yang ingin menyaksikan parti ini ‘pupus’ dan ‘terkubur’,” katanya lagi.
Terdahulu, sebuah akhbar atas talian menyiarkan pendapat seorang pengarang yang mengatakan bahawa UMNO Negeri Kedah semakin pupus kerana langsung tidak mempunyai wakil rakyat di negeri itu buat pertama kali dalam sejarah.
Artikel tersebut turut mempersoalkan siapakah pemimpin berkaliber yang mampu memimpin UMNO Negeri Kedah meskipun parti itu masih utuh dan tiada cawangan dibubarkan setelah melalui pelbagai rintangan. – UMNO Online