Rahmat Ramadan: 1,622 Keluarga Disantuni, Sarat Kasih Dan Ikhlas – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad meneruskan usaha membantu masyarakat dengan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada mereka yang memerlukan di bahagian Lipis.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, sebanyak 1,622 keluarga telah menerima bantuan sepanjang bulan Ramadan ini.
“Sumbangan bakul makanan ini diberikan seramai 1,622 keluarga menerima sepanjang Ramadan ini terutamanya di Parlimen Lipis. Sumbangan ini bukan sekadar bantuan kebajikan tetapi juga tanda kebersamaan dalam hadapi segala cabaran kehidupan.
“Majlis ini bukan sekadar majlis berbuka puasa tetapi mengeratkan hubungan silaturrahim dan terus kuatkan saf dalam perjuangan. Dalam suasana tenang bulan Ramadan, semangat UMNO tetap membara.
“UMNO bukan sekadar parti tapi wadah perjuangan bangsa dan agama. Ia sudah terbukti sejak dahulu lagi. Insya Allah … selagi ada denyut rakyat, selagi itu UMNO akan terus berdiri dan berjuang,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh pemimpin setempat di samping ahli-ahli UMNO dan penduduk sekitar yang turut bersama-sama memeriahkan acara berbuka puasa serta menerima seumbangan yang disediakan.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis mengingatkan rakyat Lipis agar terus bersatu dan berfikiran progresif dalam menghadapi cabaran semasa.
“Lipis memiliki potensi besar untuk berkembang lebih maju. Namun, kita mesti bergerak seiring, bersatu hati, dan tidak mudah dipengaruhi unsur-unsur yang boleh merugikan kita. Jika rakyat berpecah segala usaha pembangunan akan terbantut.
“Kita mahu melihat lebih ramai anak muda Lipis berjaya dalam pelbagai bidang. Manfaatkan segala peluang yang ada, sama ada dalam pendidikan, perniagaan atau pertanian moden,” katanya lagi.
Beliau juga Ketua UMNO Bahagian Lipis menjelaskan perpaduan dan kerjasama erat antara rakyat serta kerajaan merupakan asas utama dalam memastikan pembangunan yang pesat dan kemakmuran bersama di daerah ini.
“Kejayaan sesuatu kawasan bergantung kepada kesepaduan masyarakatnya dalam merealisasikan visi pembangunan yang inklusif dan mampan. Perpaduan dan kerjasama erat antara rakyat serta kerajaan adalah tunjang utama untuk memastikan pembangunan yang lebih pesat dan kemakmuran bersama di daerah ini.
“Kerajaan akan sentiasa menyokong usaha rakyat yang ingin maju dan mampu menjadikan Lipis sebagai sebuah daerah yang dihormati,” katanya.
Ujarnya, komitmen kerajaan dalam menyokong inisiatif pembangunan tempatan akan terus diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan masyarakat setempat dapat dipelihara. – UMNO Online