Kerajaan Johor Komited Bantu Rakyat Terjejas Banjir – Mohd Jafni
JOHOR BAHRU, 24 Mac – Kerajaan Negeri Johor komited dalam membantu rakyat yang terjejas akibat bencana banjir dengan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban mangsa.
Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pihaknya memahami kesulitan yang dihadapi penduduk, terutamanya mereka yang kehilangan harta benda dan perlu membina semula kehidupan.
Semalam, beliau telah turun padang bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan pihak SAFWA di lokasi kejadian tanah mendap yang berlaku di kawasan parkir Pangsapuri Fasa 13, Jalan Padi Malinja susulan hujan berterusan.
“Saya telah memohon kerjasama dari pihak MBJB dan SAFWA untuk membuat tindakan penyelesaian segera masalah mendapan tanah dan tebing runtuh ini dan anggaran awal kos keseluruhan melebihi RM1 juta.
“Diharapkan penduduk sentiasa dalam keadaan berhati-hati di kawasan tersebut,” katanya
Terdahulu, beliau yang juga ADUN Bukit Permai telah berkunjung ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara untuk meninjau sendiri keadaan penduduk yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini
Sebagai langkah segera ujarnya, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) telah bersetuju memberikan pengecualian sewa selama dua bulan kepada 152 penyewa PPR serta 42 penyewa kedai yang terkesan.
“Langkah ini diambil bagi memastikan mereka dapat bangkit semula tanpa tekanan kewangan yang terlalu berat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas turun padang ke kawasan terbabit, semalam.
Selain itu katanya, kerajaan negeri juga akan membaik pulih infrastruktur awam yang rosak akibat banjir, termasuk padang, gelanggang futsal, pagar, dan kemudahan lain.
Bagi mempercepatkan proses pemulihan, Mohd Jafni juga mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan SWM Environment untuk menambah jentera bagi operasi pembersihan pasca banjir, termasuk tambahan tong roro serta peningkatan kekerapan kutipan sampah bagi memudahkan penduduk membersihkan kediaman mereka.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus komited dalam membantu rakyat, khususnya dalam isu perumahan dan kebajikan.
“Kami akan sentiasa mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan kesejahteraan penduduk, terutama golongan yang paling terjejas,” katanya.
Beliau turut menyeru semua mangsa banjir agar terus tabah menghadapi ujian ini dan memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus memantau keadaan serta memastikan bantuan disalurkan dengan segera.
Dilaporkan, banjir di lima daerah di Johor semakin pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 3,893 daripada 1,154 keluarga setakat jam 8 pagi ini. – UMNO Online