Pembangunan Tidak Boleh Diserahkan Sepenuhnya Kepada Pemaju – Razlan

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Muhammad Rafii berpandangan bahawa pembangunan bandar tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pemaju.

Ini kerana katanya, sekiranya perkara tersebut berlaku tanpa kawalan, ia akan cenderung kepada keuntungan semata-mata.

“Kerajaan mempunyai matlamat tertentu dalam pembangunan negara, namun kehendak sebenar rakyat bergantung kepada kemampuan mereka. Apa pun yang ingin dilaksanakan, ia mestilah mencerminkan realiti sosio-masyarakat setempat.

“Saya perhatikan banyak perancangan pembangunan negara diletakkan di tangan pemaju. Jika ini berlaku tanpa kawalan, ia akan cenderung kepada keuntungan semata-mata dan aspek wang ringgit menjadi keutamaan utama.

“Di Kuala Lumpur, banyak rumah pangsa telah mencapai usia tua. Oleh itu, keperluan untuk pembangunan semula yang lebih selesa harus selaras dengan perkembangan semasa,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tegasnya, proses pembangunan tersebut mestilah dikawal oleh badan yang membela kepentingan rakyat.

“Namun, proses ini mesti dikawal oleh badan yang membela kepentingan rakyat, khususnya penduduk rumah pangsa tersebut. Pembangunan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak pemaju yang berorientasikan keuntungan.

“Cadangan saya, setiap kawasan rumah pangsa ini mestilah dikekalkan sebagai kawasan yang bukan berorientasikan keuntungan semata-mata. Usia bangunan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyerahkan pembangunannya kepada pihak swasta tanpa kawalan kerajaan.

“Kerajaan perlu memastikan pembangunan ini kekal memberi manfaat kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Harga tanah yang tinggi bukanlah alasan,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata, sebarang cadangan pembangunan mestilah memberi keutamaan kepada kesejahteraan penduduk dan komuniti sekitar.

“Pada pandangan rakyat, tanah ini lebih bernilai daripada sekadar wang ringgit; ia adalah ruang untuk menyediakan kehidupan selesa bagi semua lapisan masyarakat. Inilah peranan utama kerajaan yang mesti dipertahankan.

“Jika terdapat cadangan pembangunan, keutamaan mesti diberikan kepada kesejahteraan penduduk dan komuniti sekitarnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga berpandangan bahawa pendekatan penguatkuasa ‘menekan’ para peniaga kecil tidak akan dapat menyelesaikan masalah punca rezeki rakyat.

“Golongan penjaja dan peniaga kecil sering menghadapi tekanan daripada tindakan penguatkuasa, terutama berkaitan lesen perniagaan. Setiap kali mereka didatangi penguatkuasa, keresahan timbul kerana bimbang gerai dirobohkan atau sumber rezeki mereka terjejas.

“Pendekatan ini tidak akan menyelesaikan masalah punca rezeki rakyat. Mereka berniaga untuk mencari nafkah, dan jika terus ditekan… ditambah pula dengan tindakan yang kadangkala tidak adil, pelbagai tafsiran negatif akan timbul di kalangan masyarakat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa golongan peniaga kecil ini harus disantuni dan segala permasalahan perlu diselesaikan secara berperingkat.

“Di sinilah pentingnya peranan pemimpin setempat dan persatuan peniaga. Golongan ini perlu disantuni, bukan sekadar dihukum. Setiap permasalahan mesti diselesaikan secara berperingkat melalui perbincangan teliti untuk mencari penyelesaian yang adil dan lestari.

“Ibu kota adalah tempat untuk semua orang mencari rezeki. Selesaikanlah satu persatu, dengan hikmah dan kebijaksanaan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit