Iftar Sekampung DUN Gemencheh 2025 Teruskan Tradisi Diperkukuh Perkukuh Ukhuwah

GEMENCHEH, 19 Mac – Program Iftar Sekampung DUN Gemencheh kembali lagi tahun ini dengan sambutan yang lebih meriah bertemakan ‘Jom Bersilo Ghamai-Ghamai: Tradisi Diteruskan’ yang menjadi platform untuk mengukuhkan perpaduan serta semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar, kejayaan penganjuran sulung program ini tahun lalu telah mendorong usaha untuk meneruskannya dengan lebih bermakna.

“Tahun lalu, kita mencipta satu kenangan indah bersama. Tahun ini, kami beriltizam untuk meneruskan tradisi ini dengan lebih bermakna. Program ini bukan sekadar ruang untuk berbuka puasa bersama, tetapi juga medan memperkukuh silaturahim, berkongsi rezeki, dan menanam semangat kebersamaan dalam komuniti,” katanya.

Selain acara utama berbuka puasa, program ini turut menampilkan beberapa inisiatif bagi membantu golongan memerlukan iaitu sntaranya, penyampaian sumbangan kepada warga emas di Kampung Tengah serta pemberian bakul makanan kepada keluarga kurang berkemampuan oleh Penyelaras UMNO Gemencheh.

Dalam majlis yang sama, Suhaimizan turut melancarkan gimik penyaluran Geran Utiliti dan Pengurusan JPKK 2025 kepada kesemua 21 kampung dalam DUN Gemencheh.

Ujarnya, inisiatif ini bertujuan memperkasakan pengurusan kampung serta meningkatkan kesejahteraan penduduk.

“Program Iftar Sekampung ini melambangkan keindahan Ramadan. Ia bukan sekadar mengisi perut, tetapi juga mengisi hati dengan kasih sayang dan kepedulian antara satu sama lain. Jika tahun lalu kita bermula dengan memori yang indah, tahun ini kita teruskan dengan harapan agar program ini lebih berkat dan memberi manfaat kepada semua,” tambah beliau.

Program ini dihadiri pemimpin tempatan, ketua-ketua kampung, serta ratusan penduduk yang bersama-sama meraikan kemeriahan Ramadan selain mencerminkan semangat perpaduan yang kukuh dalam masyarakat serta komitmen kepimpinan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit