Imarahkan Ramadan: ADUN Jeram Padang Seru Masyarakat Perkukuh Ibadah Dan Ukhwah
JEMPOL, 19 Mac – Program Ihya’ Ramadan dan Majlis Khatam Al-Quran di Masjid As-Sobirin, Felda Bukit Rokan Barat disambut dengan penuh kesyukuran apabila masyarakat setempat hadir mengimarahkan bulan penuh keberkatan ini.
ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, yang turut hadir dalam majlis tersebut, menyeru umat Islam untuk memanfaatkan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan ibadah, doa serta amalan kebajikan.
Sebagai tanda sokongan kepada masyarakat, beliau turut menyampaikan sumbangan 60 kotak makanan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, serta bantuan kewangan RM200 kepada 51 warga emas yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi peluang untuk kita merapatkan silaturahim, membantu golongan yang memerlukan serta mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para peserta Majlis Khatam Al-Quran dan berharap agar amalan membaca Al-Quran diteruskan selepas Ramadan.
Terdahulu beliau telah menghadiri Majlis Perasmian ‘Mantai Rayo 2025’ yang disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Haru.n
Dalam hal ini, Mohd Zaidy menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri atas inisiatif ini yang bukan sahaja mengekalkan tradisi menjelang Aidilfitri, tetapi juga membantu rakyat mendapatkan bekalan daging segar pada harga yang berpatutan.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati dapat bersama dalam majlis perasmian ini. ‘Mantai Rayo’ sememangnya satu program yang amat dinanti-nantikan kerana memberi manfaat besar kepada rakyat, terutama dalam memastikan bekalan daging segar dapat diperoleh dengan mudah dan harga yang berpatutan,” katanya.
Bagi edisi kali ini, ‘Mantai Rayo 2025’ akan diadakan di semua 36 DUN di Negeri Sembilan bermula 26 hingga 28 Mac 2025 dengan kerjasama Jabatan Veterinar serta Pejabat ADUN di setiap kawasan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Mohd Zaidy turut menegaskan komitmen pasukannya dalam menjayakan program ini di DUN Jeram Padang.
“Saya yakin bahawa ‘Mantai Rayo’ akan terus menjadi tradisi yang memperkukuhkan hubungan antara rakyat dan kerajaan, serta membantu mengurangkan beban kos sara hidup, khususnya dalam persiapan menyambut Hari Raya.
“Saya mengajak semua pihak untuk sama-sama menyokong dan memanfaatkan program Mantai Rayo ini. Semoga usaha murni ini diberkati dan terus memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan,” tambahnya. – UMNO Online