Provokasi Sanusi: UMNO Tetap Konsisten Atas Landasan Perjuangan Asal
KUALA LUMPUR, 19 Mac – UMNO tetap konsisten berdasarkan landas perjuangan asal dengan meneruskan pelbagai dasar kerajaan melalui pelbagai kementerian, agensi dan jabatan, kata Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, parti tidak perlu menghiraukan provokasi Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mencabar parti memutuskan hubungan dengan Dap untuk kembali kepada perjuangan asal.
“UMNO tidak perlu hiraukan cabaran Datuk Sanusi Md Nor untuk putuskan hubungan dengan Dap supaya kembali kepada perjuangan asal, memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu.
“Hubungan UMNO dan Dap tidak serupa seperti hubungan Pas dengan Dap dahulu seperti yang dibayangkan oleh Sanusi.
“Hubungan UMNO-Dap tidak seperti hubungan Pas-Dap… Pas hanya menurut dan mengiyakan apa saja kemahuan Dap, walaupun ianya bertentangan dengan kepentingan agama serta Melayu,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tegasnya, UMNO kini hanya komited dan konsisten bersama Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan bagi mentadbir negara.
“Kita masih ingat ‘fatwa’ Tuan Guru kepada Sanusi yang mewajibkan umat Islam menyokong Dap. Betapa Pas sayangkan Dap sehingga mereka sanggup mengibarkan bendera Dap memenuhi jalanraya.
“Hakikatnya, mereka gagal ‘menjinakkan’ Dap mengikut aspirasi perjuangan Pas yang sebenar.
“Sedangkan UMNO kini hanya komited dan konsisten bersama PH, bukan hubungan terus dengan Dap. UMNO tidak akur pada kehendak Dap seperti Pas yang ‘menghalalkan’ segala kemahuan Dap,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata tidak pernah timbul isu kononnya UMNO terkilaf dari perjuangan asal seperti yang dikatakan oleh Sanusi.
“Apa yang penting, UMNO kini tetap konsisten atas landasan perjuangan asalnya, dengan meneruskan pelbagai dasar sebagai kerajaan menerusi pelbagai kementerian, agensi dan jabatan, contohnya Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Justeru, tidak timbul isu UMNO kononnya terkhilaf dari perjuangan asal seperti momokan Sanusi maka UMNO tidak perlu mempeduli provokasi politik separa masak beliau,” katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan Pas mencabar UMNO agar memutuskan hubungan dengan Dap sekiranya benar-benar ikhlas mahu kembali ke landasan perjuangan asalnya sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu.
Sanusi berkata, langkah itu merupakan perkara asas yang perlu dilakukan oleh UMNO bagi membuktikan parti tersebut masih relevan. – UMNO Online