Media Sosial Senjata Politik Baharu Hadapi Pilihan Raya – Azalina
TAPAH, 19 Mac – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan media sosial sebagai senjata politik baharu yang perlu dimanfaatkan pada setiap pilihan raya terutama Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada April ini.
Beliau yang juga Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi berkata ia penting dalam menyampaikan aspirasi parti termasuk menjawab serangan politik dibawa pembangkang.
“Dalam kempen di Tapah, pergi rumah ke rumah, bercakap duduk kedai kopi dan menggunakan sosial media Ini. Inilah antara senjata baru yang kita kena bersedia dan berhati-hati.
“Sekarang ini kempen kena banyak pakai kempen media sosial… konten pun kena ubah dulu. Kalau kita tengok Menteri Besar Perak, pemimpin muda dalam parti yang menggunakan kreativiti.
“Kerana dunia sosial media macam itulah kena ada perkara menarik ada lagu, warna ini yang kita kena buat.
“Kalau guna cara betul, jentera kita di bawah bersedia nak jawab isu-isu kemudian perhubungan negeri Perak dibantu negeri yang lain pada kempen kelak,” katanya.
Azalina berkata demikian pada Perjumpaan Bersama Ketua-ketua Penerangan Bahagian Empat Peringkat UMNO Negeri Perak di Dewan UMNO Bahagian Tapah semalam.
Turut hadir Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob; Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din; Ketua Penerangan Tapah, Meor Haris Meor Akim serta kepimpinan lain.
Mengulas lanjut kata Azalina, kemenangan UMNO/Barisan pada PRK sebelum ini manifestasi kepada semangat baharu dalam kalangan jentera parti untuk terus memperkasakan gerak kerja sebaiknya.
Namun kata beliau, sokongan pengundi muda yang sukar dijangka menjadi antara isu yang perlu diberi perhatian sewajarnya.
“Jadi sejak kebelakangan ini UMNO/BN menang PRK itu mesej bahawa kita kuat bila pemimpin UMNO, Menteri Besar UMNO buat kerja dan rakyat mungkin hendak UMNO kembali.
“Tapi masalah kita dengan ialah pengundi muda, dia akan ikut sentimen… ikut perasaan. Tapi sekarang ini kalau kita menang di Tapah ia satu kredit kepada UMNO Perak dan kepada UMNO Malaysia untuk menghadapi pilihan raya seterusnya,” ujar beliau.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar. – UMNO Online