Kerajaan Perlu Berfungsi Dengan Baik, Selesaikan Masalah Asas Rakyat Sabah – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 17 Mac – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menegaskan bahawa kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu lebih serius dalam menyelesaikan masalah asas rakyat.

Dalam hal ini, beliau mengambil maklum kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang mempertahankan pentadbiran kerajaan GRS sebagai kerajaan yang berjaya, sedangkan realiti di lapangan menunjukkan sebaliknya.

Menurut Bung Moktar, rakyat Sabah masih berdepan pelbagai isu asas seperti bekalan air bersih, gangguan bekalan elektrik, dan keadaan jalan raya yang daif.

Beliau mempertikaikan dakwaan kejayaan kerajaan negeri apabila masih banyak kawasan mengalami gangguan bekalan air, termasuk sepanjang bulan Ramadan ini.

“Kalau benar kerajaan ini berjaya seperti yang didakwa, mengapa masih ramai rakyat Sabah mengalami kesukaran mendapatkan bekalan air bersih?

“Mengapa sehingga hari ini masih banyak kawasan mengalami gangguan air? Ini bukan dakwaan kosong, tetapi hakikat yang rakyat sendiri alami setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Bung Moktar turut membangkitkan isu pemadaman elektrik yang semakin kerap berlaku di Sabah.

Menurutnya, rakyat sudah terbiasa dengan gangguan bekalan elektrik sehingga hari tanpa pemadaman dianggap luar biasa.

“Sampai bila rakyat perlu bertahan dengan keadaan ini? Kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu infrastruktur jalan raya yang menurutnya masih jauh ketinggalan. Jalan kampung dan lebuh raya utama di Sabah terus menjadi rungutan rakyat kerana keadaan berlubang dan membahayakan pengguna jalan raya.

Bung Moktar juga menegaskan bahawa kerajaan negeri harus lebih proaktif dalam menangani isu ekonomi dan peluang pekerjaan, memandangkan ramai rakyat Sabah masih terpaksa berhijrah ke Semenanjung atau luar negara untuk mencari rezeki.

“Kos sara hidup terus meningkat, tetapi tiada pelan konkrit daripada kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban rakyat,” katanya.

Beliau turut menyelar sebarang usaha untuk menafikan keluhan rakyat atau melabel mereka sebagai penyebar fitnah.

“Rakyat Sabah tidak buta dan tidak tuli. Mereka sendiri yang merasai kesan daripada kegagalan pentadbiran kerajaan negeri hari ini. Jika kerajaan benar-benar berfungsi dengan baik, sepatutnya rakyat merasai kemajuan itu, bukan sekadar mendengar angka dan laporan pencapaian di atas kertas,” katanya lagi.

Mengakhiri kenyataannya, Bung Moktar menegaskan bahawa rakyat Sabah berhak membuat penilaian sendiri terhadap prestasi kerajaan negeri, dan pilihan raya akan datang adalah peluang untuk mereka menentukan masa depan negeri itu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit