Jalaluddin Alias Hulur Bantuan kepada Asnaf dan Warga Emas

JELEBU, 17 Mac – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, telah menyerahkan bantuan kepada 765 penerima dalam DUN terbabit.

Menurut Datuk Seri Jalaluddin, inisiatif ini bertujuan untuk membantu masyarakat, terutama menjelang sambutan Aidilfitri, agar mereka dapat merayakannya dengan lebih ceria dan selesa.

Beliau juga menekankan kepentingan menjaga hubungan baik dengan jiran tetangga bagi memastikan keharmonian dalam komuniti.

“Sumbangan ini diharap dapat mengurangkan beban penerima dan memberikan kegembiraan kepada mereka dalam menyambut Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, semalam.

Seramai 200 penerima dari golongan asnaf dan 560 warga emas menerima sumbangan dalam majlis yang diadakan pagi tadi.

Selain itu, dua pasangan belia yang baru mendirikan rumah tangga serta tiga pelajar institusi pengajian tinggi turut menerima bantuan khas sebagai sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Jalaluddin turut menyeru generasi Felda untuk terus memberikan kepercayaan kepada kerajaan dalam menyelesaikan isu perumahan bagi generasi kedua Felda.

Beliau menasihatkan agar masyarakat tidak mengambil tindakan yang boleh merugikan diri sendiri dalam usaha memperjuangkan hak mereka.

Majlis penyampaian bantuan ini mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat dan diharap dapat meringankan beban penerima menjelang musim perayaan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit