Komitmen KKDW Perkasa Pekebun Kecil Getah Melalui Risda – Ahmad Zahid

KANGAR, 15 Mac – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sebagai Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), beliau tidak pernah berhenti untuk memberikan dorongan kepada pihak RISDA bagi melakukan pelbagai inisiatif dalam menyampaikan bantuan kepada para pekebun kecil getah dalam meningkatkan hasil dan menaiktaraf sosio ekonomi mereka.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata pada masa ini, lebih 500 ribu pekebun kecil mengusahakan 800 ribu hektar penanaman getah di seluruh negara yang menyumbang sebanyak 89.4 peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah asli negara.

“Di negeri Perlis ini seramai 4,774 orang pekebun kecil dengan keluasan kebun sebanyak 8,749 hektar. Program tanam semula getah menjadi ‘anchor’ program utama RISDA. Ia merupakan usaha yang berterusan KKDW dan RISDA bagi memastikan penghasilan komoditi getah terus meningkat dan mencapai tahap produktiviti yang efisien.

“Dalam menjayakan seluruh inisiatif ini, KKDW telah memperuntukkan sejumlah RM440.22 juta tahun ini kepada pihak RISDA bagi memastikan keberjayaan masyarakat pekebun kecil menerima manfaat melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui aspirasi Desa Madani yang telah saya perkenalkan.

“Industri getah negara bukanlah sekadar mengenai pembangunan ekonomi semata-mata, ianya juga berkisarkan survival kehidupan komuniti pekebun kecil getah yang telah berusaha keras di kebun dan ladang milik mereka, demi kelangsungan hidup,” katanya pada Majlis Santunan Kasih Ramadan, anjuran KKDW, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Risda, Manndzri Nasib; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman serta kepimpinan UMNO , akar umbi parti seluruh negeri, pekebun-pekebun Risda serta masyarakat negeri ini.

Mengulas lanjut beliau juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menjelaskan RISDA menjadi agensi yang cemerlang kerana telah menerajui komuniti ini semenjak 52 tahun lalu.

“RISDA juga merupakan agensi yang amat dikenali dan sangat rapat dengan warga pekebun kecil. Sejak penubuhan RISDA pada 1973, pelbagai usaha giat dilaksanakan bagi memastikan warga pekebun kecil dan keluarga menerima manfaat terbaik hasil daripada peruntukan bantuan kerajaan.

“Salah satu daripadanya adalah Program Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) yang selama ini memberikan pulangan pendapatan yang signifikan kepada komuniti pekebun kecil melalui pemilikan saham dan menerima dividen hasil secara tahunan.

“Sepanjang pelaksanaan program bermula pada tahun 1974, RISDA telah menyalurkan dividen kepada setiap peserta program ini dengan jumlah RM831 juta,” ujarnya.

Tambah Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk itu  lagi, RISDA akan menyalurkan dividen program RTBB tahun 2024 bernilai RM10.99 juta yang melibatkan 1,776 orang penerima manfaat melalui keluasan tanaman 5,370 hektar, dengan purata setiap penerima menerima sebanyak RM5,061.00 per hektar.

“Dengan peningkatan yang signifikan sebanyak 69 peratus berbanding penyaluran dividen tahun lalu, iaitu sebanyak RM6.49 juta, ianya satu pencapaian cemerlang daripada pihak RISDA dalam memastikan pekebun kecil getah menerima manfaat terbaik, hasil daripada program yang dilaksanakan kerajaan. Syabas pihak RISDA,” ujarnya lagi.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit