TPM Lawat UniMAP: Perkasa Latihan Teknologi Semikonduktor
PERLIS, 14 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini mengadakan lawatan ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi meninjau potensi latihan teknologi semikonduktor dan pembangunan tenaga kerja mahir dalam sektor Elektrik dan Elektronik (E&E).
Ujarnya, lawatan ini selari dengan perkembangan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang semakin pesat sebagai hab utama industri E&E malah salah satu bidang yang mendapat perhatian adalah Advanced Packaging, teknologi pembungkusan cip yang lebih canggih dan berprestasi tinggi.
Ahmad Zahid melawat Pusat Kecemerlangan Latihan Teknologi Semikonduktor UniMAP yang dijangka membuka peluang kepada universiti tersebut untuk meneroka teknologi yang dipacu industri serta menyediakan graduan yang bersedia untuk pasaran kerja.
“Sektor ini dijangka akan terus memacu pembangunan industri dan ekonomi di bawah NCER dengan pertumbuhan ketara dalam tiga tahun berturut-turut, iaitu sebanyak RM31.29 bilion pada tahun 2022 dan meningkat kepada RM41.45 bilion pada tahun 2023.
“Ini akan mengukuhkan daya saing Malaysia sebagai hab teknologi tinggi dan semikonduktor di peringkat global,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Selain itu, beliau turut melawat pusat TVET UniMAP serta menyaksikan majlis pertukaran dokumen Memorandum of Agreement (MoA) antara universiti itu dengan 20 syarikat industri, termasuk Fermwaste Sdn Bhd dan Rocksolid Technology Solutions Sdn Bhd.
Katanya, kerjasama ini dijangka akan memberi manfaat besar kepada pembangunan latihan kemahiran tinggi dalam bidang TVET.
Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, Ahmad Zahid juga menyatakan sokongan penuh terhadap usaha ini, yang dilihat sebagai pemacu utama dalam memperkukuh ekosistem TVET negara bagi memenuhi keperluan tenaga kerja tempatan.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk bertemu dengan penduduk Perlis dan dijadualkan berbuka puasa bersama mereka dalam majlis yang diadakan pada sebelah petang. – UMNO Online