Wanita UMNO Teruskan Ihya Ramadan, Agih Bubur Lambuk
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Sekretariat Kebajikan Wanita UMNO Malaysia dengan kerjasama World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) telah menganjurkan program Agihan Bubur Lambuk Wanita UMNO Malaysia bagi meraikan kedatangan Ramadan.
Program yang berlangsung di hadapan bangunan WTC KL tengah hari tadi menyaksikan pengagihan 1,000 pek bubur lambuk kepada kakitangan UMNO, kakitangan WTC KL, serta orang ramai.
Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Noraini Ahmad, turut hadir membantu dalam penyediaan dan agihan bubur lambuk bersama Datuk Seri Irmohizam Ibrahim, Pengarah Urusan WTC KL, serta Puan Hajah Naz Azra selaku Pengerusi Sekretariat Kebajikan Wanita UMNO Malaysia.
Turut serta dalam program ini ialah Datin Maizatul Akmam, Bendahari Wanita UMNO Malaysia; Datuk Rosni Zahari, Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia; Datuk Halimahton, Ketua Wanita UMNO Selangor; Datuk Norma, Ketua Wanita UMNO Kedah; serta To’ Puan Zaitun, Ketua Wanita UMNO Terengganu.
Ketua-ketua Wanita UMNO Bahagian dari Johor, Wilayah Persekutuan, dan Selangor turut turun padang membantu dalam pengagihan kepada orang ramai serta pengguna jalan raya di sekitar bangunan WTC KL.
Menurut Sekretariat Kebajikan Wanita UMNO Malaysia, program ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat Ramadan serta mengeratkan hubungan silaturahim dengan masyarakat setempat. – UMNO Online