Iftar Ramadan 2025: Ahmad Zahid Eratkan Hubungan Kerajaan Dan Rakyat

KANGAR, 15 Mac – Masjid An Nur, Kangar menjadi saksi kemuncak Majlis Santunan Ramadan 2025, yang dihadiri hampir 2,000 tetamu bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Majlis penuh berkat ini bukan sekadar penutup jelajah Ramadan tetapi juga menjadi momen istimewa sebelum Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berangkat ke tanah suci untuk menunaikan ibadah umrah.

Majlis ini anjuran Risda dan berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran dengan kehadiran tetamu golongan asnaf, pelajar tahfiz, anak yatim serta masyarakat setempat

Seawal jam 6.30 petang, suasana majlis diserikan dengan alunan selawat ke atas Nabi SAW, menyambut ketibaan Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Kehadiran beliau dinanti-nantikan oleh rakyat yang teruja untuk bertemu secara dekat dan beramah mesra dengannya.

Dalam majlis ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut menyantuni 150 pelajar tahfiz , anak yatim dan ibu tunggal dengan pemberian sumbangan duit raya, seiring dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan nilai kesejahteraan, ihsan, dan hormat dalam masyarakat.

Hadir sama Pengerusi Risda, Manndzri Nasib; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman serta kepimpinan UMNO , akar umbi parti seluruh negeri, pekebun-pekebun Risda serta masyarakat negeri ini.

Kehadiran mereka mengukuhkan lagi hubungan erat antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan agenda pembangunan luar bandar terus diperkasakan.

Iftar ini bukan sekadar acara berbuka puasa, tetapi menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, mencerminkan semangat kasih sayang dan kebersamaan dalam bulan penuh keberkatan ini.

Seusai majlis berbuka puasa, Ahmad Zahid bersama para jemputan menunaikan solat Maghrib berjemaah dan melengkapkan satu lagi episod dalam jelajah Santunan Ramadan beliau.

Sebelum tiba di Perlis, Ahli Parlimen Bagan Datuk ini turut menghadiri Majlis Santunan Ramadan 2025 di Masjid Munawwarah, Panchor Jaya, Seremban, dalam usaha berterusan mendekati rakyat dan menyemai nilai kebersamaan sepanjang bulan mulia ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit