Mohd Isam Terus Khidmat Bakti, Ziarah Kasih Sempena Ramadan
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa meneruskan khidmat bakti bersempena Ramadan dengan menyantuni masyarakat setempat.
Terbaharu beliau ke Felda Bukit Rokan bagi menemui komuniti di situ di samping bertanya khabar mereka sebelum melakukan ziarah ke rumah warga emas.
Pada kunjungan tersebut beliau turut sama menyampaikan bantuan kepada mereka dalam meringankan beban untuk mengharungi Ramadan dan Syawal yang bakal menjelma.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan bersama komuniti di Felda Bukit Rokan.
“Saya luangkan sedikit masa utk menyantuni warga emas dalam program ziarah kasih, melawat Bazar Ramadan dan berbuka puasa bersama komuniti setempat.
“Kunjungan kami ke rumah warga emas bukan sekadar menyampaikan sumbangan tetapi juga mendengar dan berkongsi cerita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mohd Isam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin dalam pada itu turut sama turun padang ke bazar Ramadan bagi menyantuni para peniaga dan orang ramai yang ingin membeli juadah berbuka puasa.
Beliau seterusnya berbuka puasa bersama masyarakat setempat di Sekolah Kebangsaan Bukit Rokan.
“Sempat juga kami singgah ke bazar Ramadan, menyantuni para peniaga yang gigih mencari rezeki di bulan penuh keberkatan ini. Semoga perniagaan mereka diberkati dan terus maju.
“Kemuncaknya, kami berbuka puasa bersama komuniti di SK Bukit Rokan mengeratkan ukhuwah dan menghidupkan semangat kekitaan. Felda Bukit Rokan antara Felda yg terbaik top 10 dalam ranking di Wilayah Raja Alias ini. Semua pihak dapat bekerjasama dgn baik untuk memastikan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Gemencheh, Suhaimizan Bizar; Pengarah Wilayah Felda Raja Alias, Mohd Nazri Jamaludin dan Timbalan Pengarah Wilayah Felda Raja Alias, Mohd A’fif Aid. – UMNO Online