Iftar UMNO: Ukhuwah Kepartian Nikmat Terbesar Yang Harus Ditingkatkan – Rais
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Ketua UMNO Tangga Batu, Datuk Rais Yasin melihat ukhuwah kepartian adalah nikmat terbesar dalam meniti perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.
Justeru bagi beliau yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Melaka berpandangan program Iftar UMNO semalam merupakan salah satu platform dalam mengukuhkan hubungan sedia ada yang telah terjalin sekian lama antara satu sama lain.
“Ibaratnya adalah seperti anggota badan yang membentuk satu jasad. Saling melengkapi antara satu sama lain. Cubit yang kanan, yang kiri pasti terasa sakit. Alhamdulillah… syukur malam tadi saya dapat bertemu dengan sahabat handai dan rakan seperjuangan di Majlis Berbuka Puasa UMNO Malaysia bertempat di Dewan Tun Razak 3, WTC Kuala Lumpur,” katanya kepada UMNO-Online.
Rais seterusnya menambah peluang serta ruang yang pada majlis berkenaan yang turut meraikan anak-anak yatim dan pelajar tahfiz memberi mereka peluang untuk meningkatkan tali ukhuwah di kalangan ahli serta kepimpinan UMNO serta masyarakat.
“Inilah saatnya untuk kami bertanya khabar dan mengeratkan tali silaturahim di bulan Ramadhan penuh kemuliaan ini.
“Semoga ukhuwah yang terjalin dalam majlis penuh keberkatan ini akan menguatkan lagi kesatuan dan semangat kebersamaan sesama ahli Keluarga UMNO. Bersama kita mendoakan parti keramat ini terus istiqamah dan tetap utuh dalam perjuangan demi membela nasib rakyat,” tambahnya.
Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan kepimpinan UMNO yang lain.
Terdahulu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah diadakan sebelum majlis berbuka puasa pada jam 3.00 petang.– UMNO Online