Mohamed Khaled Sampaikan Sumbangan Kebajikan ATM Kepada Anggota, Waris

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyampaikan sumbangan kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada anggota dan waris pada Rabu.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Naib Presiden UMNO telah berpeluang menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama warga ATM di Masjid Khalid Al-Walid, di sini.

“Pada hari ke-11 Ramadan, saya berpeluang menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama warga ATM di Masjid Khalid Al-Walid, Kuala Lumpur.

“Syukur Alhamdulillah, saya diberi kesempatan untuk menyampaikan sumbangan kebajikan ATM kepada anggota dan waris yang menghidap penyakit kronik serta golongan asnaf,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar sumbangan tersebut dapat meringankan beban yang ditanggung dan menyeru semua pihak menghayati bulan Ramadan dengan penuh keikhlasan.

“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung, dan seterusnya membantu keluarga ATM kita menyambut kedatangan Syawal dengan kegembiraan.

“Marilah kita semua menghayati bulan Ramadan ini dengan penuh keikhlasan dan tawaduk dalam beribadah, agar segala amalan kita di bulan yang mulia ini diberkati dan diterima oleh Allah SWT,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit