Rujuk Pejabat PM Sebelum Keluarkan Kenyataan, Bukan Podcast – Zawawi
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Kerajaan negeri disarankan untuk merujuk kenyataan rasmi Pejabat Perdana Menteri sebelum mengeluarkan sebarang ulasan berkaitan projek, bajet pembangunan, atau bantuan kepada Kelantan bagi mengelakkan salah faham.
Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud mengenai dana projek tebatan banjir daripada kerajaan Pusat boleh menimbulkan ketegangan antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, kenyataan tersebut sepatutnya bersandarkan sumber rasmi, bukannya maklumat yang diperoleh daripada podcast bebas yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Sebagai pemimpin tertinggi negeri, Menteri Besar perlu lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan dan tidak menjadikan bahan dari sumber yang tidak rasmi sebagai rujukan utama,” katanya kepada UMNO Online.
Zawawi turut menekankan bahawa politik mempunyai pelbagai strategi dan tidak menolak kemungkinan kandungan podcast tersebut dirancang untuk memberi kelebihan kepada pihak tertentu dalam arena politik.
Dalam pada itu, beliau menyeru kerajaan negeri agar memberi kerjasama penuh dalam mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir demi kepentingan rakyat Kelantan, termasuk menyelesaikan isu pengambilan tanah yang sering menjadi penghalang kepada kelancaran projek kerajaan Persekutuan. – UMNO Online