HAWA Imarah Ramadan, Anjur Program Ilmu

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) hari ini berbesar hati menganjurkan Program Tautan Kasih Ramadan bagi menyemarakkan lagi kedatangan bulan mulia ini di samping memanfaatkannya dengan program ilmu.

Pengerusi HAWA Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil meluahkan kesyukuran beliau dengan penyertaan menggalakkan daripada wanita seluruh negara melalui pelbagai pengisian.

Diadakan di Surau Jumaat An Naim Wangsa Maju majlis ini menyaksikan pengisian tadarus Al-Quran dipimpin oleh ustazah Nur Hidayu Mohd Kamil serta tazkirah kesempurnaan solat oleh ustaz Dr Mohamad Hadi Zahalan yang juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Akademik Al Bayan dan rakan strategik program ini.

“Program seperti ini amat mustahak kerana ia bukan sahaja membawa berkat dan rahmah sempena Ramadan tetapi mengeratkan silaturahim di antara kita sebagai semua umat Islam.

“Jadi program hari ini di antara lain ada tazkirah oleh Ustaz Dr Mohamad Hadi. Beliau menceritakan tentang solat dan lain-lain. Itu adalah satu program yang ilmu yang saya nampak mendapat perhatian yang begitu baik daripada 750 daripada peserta pada hari ini.

“Saya juga rasa teruja kerana ramai badan bukan kerajaan (NGO), ini penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) HAWA melalui program seperti ini malah pada hari ini penyertaan daripada lapan NGO tempatan dan empat daripada kebangsaan,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Pengerusi HAWA Malaysia, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad; Timbalan Pengerusi Majlis HAWA, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan kepimpinan lain.

Dalam pada itu Shahrizat yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyatakan keterujaan beliau dengan kerjasama daripada Pertubuhan Akademik Al Bayan yang memberikan sumbangan kepada kumpulan asnaf dan mualaf.

“Ini adalah program kedua yang kita jalankan bersama Akademik Al Bayan. Pada kali ini mereka dengan murah hatinya telah pun memberi sumbangan-sumbangan kepada 250 orang asnaf dan mualaf.

“Jadi kita cantumkan tadarus, tazkirah, sumbangan dan untuk kami daripada HAWA yang paling mustahak, kita membawa visi dan misi penaung Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zaid Hamidi,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit