Pelihara Perpaduan… Tolak Pihak Mainkan Sentimen Agama, Kaum Dan Bangsa – Jalaluddin
SEREMBAN, 12 Mac – Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan bahawa pihak kerajaan negeri dan persekutuan tidak akan bersama dengan mana-mana pihak yang cuba untuk memainkan sentimen agama, bangsa serta kaum bagi merosakkan perpaduan di bawah Kerajaan Madani.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan memaklumkan bahawa amalan menyantuni masyarakat sepanjang bulan Ramadan sedang giat dijalankan oleh pemimpin setempat.
“Hari ini adalah hari yang ke-11 Ramadan. Santunan kepada rakyat Negeri Sembilan termasuk di seluruh pelusuk kampung sedang giat dijalankan merata tempat. Hari-hari ada majlis iftar Ramadan termasuk hari ini bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), memberikan makna mendalam kepada masyarakat yang memerlukan sentuhan kasih daripada kita.
“Di Negeri Sembilan, sudah menjadi amalan kita untuk membela semua masyarakat terutamanya golongan B40, masyarakat yang memerlukan sentuhan kasih kita dalam soal apa juga pembelaan merangkumi kaum dan bangsa.
“Untuk makluman, Negeri Sembilan telah membelanjakan sebanyak RM415,000 untuk peruntukan kepada setiap kampung orang asli di seluruh negeri, yang telah diluluskan dalam anggaran Belanjawan 2025… bermakna ia juga telah pun dilaksanakan pada tahun-tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan aluan sempena Majlis Santunan Kasih Ramadan 2025 yang diadakan di sini pada Selasa.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Sembilan telah memperuntukkan hampir RM94 juta untuk memenuhi keperluan rakyat berlandaskan 66 inisiatif dalam membela masyarakat kurang berkemampuan.
“Kesemuanya ini membawa satu makna dan harapan supaya setiap masyarakat berada di dalam tanah bertuah Negeri Sembilan ini mendapat pembelaan dari kerajaan negeri yang juga mendapat sentuhan kasih daripada kerajaan pusat.
“Inilah sebenarnya budaya dan juga tadbir urus mengenai ideologi pemikiran kepada pemimpin-pemimpin besar kita di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang didukung oleh Timbalan Perdana Menteri dan barisan kabinet… termasuk yang diperjuangkan oleh pimpinan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar dan juga barisan ahli mesyuarat kerajaan negeri.
“Tahun lepas, bajet kita alhamdulilah sekitar RM560 juta. Tetapi, kita belanja dan kita letakkan hampir RM94 juta untuk memenuhi keperluan rakyat dalam 66 inisiatif bagi pembelaan masyarakat kurang berkemampuan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa pemimpin yang ada pada ketika ini akan terus membela dan mempertahankan orang Melayu serta agama Islam.
“Kita nak kekalkan perpaduan ini. Orang Melayu menghormati orang Cina, India dan masyarakat orang asli. Kita tidak akan bersama dengan mana-mana pihak yang cuba memainkan sentimen agama, kaum dan bangsa untuk merosakkan perpaduan di bawah Kerajaan Madani.
“Malah, inilah yang dibawa oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak puluhan tahun dahulu di dalam kita mengendalikan masyarakat. Jadi, jangan percaya apa yang mereka katakan bahawa kita tidak membela orang Melayu dan agama Islam.
“Kita ada Perkara 153, kita ada pemimpin yang akan mempertahankan bahawa tidak ada pelanggaran sempadan akan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melihat negeri dan negara kita sentiasa berada dalam keadaan kucar-kacir,” katanya lagi. – UMNO Online