ADUN Johol Ajak Imarahkan Ramadan Dengan Program ‘Jom Buko Puasa Di Masjid’

JOHOL, 12 Mac – Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman, mengajak masyarakat setempat untuk mengimarahkan masjid dengan menyertai program ‘Jom Buko Puasa di Masjid’.

Program ini akan berlangsung di tiga masjid terpilih, iaitu Masjid Jamek Pekan Johol, Masjid Kariah Gating, dan Masjid Kariah Dato’ Undang Kamat.

Katanya, inisiatif ini bertujuan memberikan kemudahan kepada orang ramai, ahli kariah, serta mereka yang bermusafir melalui kawasan ini agar dapat berbuka puasa dalam suasana selesa dan penuh keberkatan.

“Inisiatif ini diadakan bagi mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan dengan menggalakkan lebih ramai masyarakat berbuka dan beribadah bersama-sama di rumah Allah. Selain berbuka puasa, program ini juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama umat Islam.

“Kami mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada masyarakat bagi menjayakan program iftar ini. Sumbangan boleh diberikan dalam bentuk kewangan atau makanan dan boleh disalurkan terus kepada pihak masjid yang terlibat.

“Setiap sumbangan amat dihargai dan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyediakan juadah berbuka puasa untuk para jemaah,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya berkaitan hal ini.

Katanya, program ini bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan tetapi juga membuka peluang kepada masyarakat untuk berkongsi rezeki dan meraih pahala berganda sepanjang bulan Ramadan.

“Insya-Allah, dengan sambutan yang baik dan sokongan daripada masyarakat, kita akan berusaha untuk memperluaskan program ini pada tahun hadapan dengan melibatkan lebih banyak masjid di kawasan Johol. Dengan ini, lebih ramai orang dapat merasai manfaat dan kemudahan berbuka puasa di masjid.

“Saya menyeru semua umat Islam di Johol untuk bersama-sama menghidupkan masjid, terutamanya pada 10 malam terakhir Ramadan. Hadirilah majlis berbuka puasa, solat berjemaah, serta aktiviti ibadah lain yang dianjurkan agar kita dapat meraih keberkatan bulan yang mulia ini.

“Semoga program ini menjadi pemangkin untuk lebih ramai masyarakat mendekatkan diri dengan masjid dan memperkukuhkan ukhuwah sesama Islam,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit