Dah Hina Agama Kami… Hukuman Setimpal Perlu Sebagai Pengajaran – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan permohonan maaf sahaja tidak mencukupi bagi menutup kesalahan yang telah dilakukan pihak yang menghina agama Islam.

Menurutnya, hukuman setimpal perlu dikenakan supaya ia menjadi pengajaran kepada pihak yang cuba menyentuh isu agama.

“Cukup-cukuplah dengan budaya hina dulu baru minta maaf? Dah hina agama kami, semudah itu sahaja minta maaf?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata pelaksanaan undang-undang itu perlu dikenakan kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira bangsa atau fahaman politik.

“Kami mendesak kerajaan agar tindakan yang sangat tegas perlu dikenakan kepada individu ini undang-undang bukan hanya untuk sesetengah golongan sahaja, ia perlu dikenakan kepada semua tanpa mengira bangsa, mahupun fahaman politik

“Mana pergi ahli politik yang bukan main dulu marah tiga orang penyampai radio Era dahulu? Yang ini pun wajib kamu marah dan bantah.

“Bawa dia ni ke masjid untuk minta maaf juga!” tegas beliau.

Terdahulu media melaporkan bahawa pihak polis sedang memburu pemilik akaun Facebook ‘Vijayan Savarinathan’ berhubung kandungan video berdurasi lebih tiga minit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kemudiannya berkata, siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, sejurus laporan polis dibuat termasuk usaha mengesan lelaki terbabit yang berkemungkinan berada di luar negara.

Kemudiannya, pemilik akaun berkenaan bagaimanapun tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui kesilapan dilakukannya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit