Aspirasi Warga Emas: Kestabilan Politik Negeri Sembilan Beri Manfaat Kepada Masyarakat
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Kestabilan politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memberi manfaat kepada masyarakat khususnya warga emas yang memerlukan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya beliau memaklumkan bahawa seramai 95 orang warga emas telah menerima sumbangan Aspirasi Warga Emas untuk tahun 2025.
“Hari ini, seramai 95 orang warga emas telah hadir di Masjid Ulu Bendul, Masjid Kampung Pauh, Terachi dan Masjid Kampung Mampas untuk menerima sumbangan Aspirasi Warga Emas bagi tahun 2025.
“Inisiatif ini adalah hasil usaha Kerajaan Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang terus komited dan prihatin dalam menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar usaha tersebut dapat dikekalkan supaya ia teurs menjadi simbolik Kerajaan Perpaduan yang stabil di Negeri Sembilan.
“Pelaksanaan di setiap DUN membuktikan kestabilan politik antara BN dan PH di negeri ini memberi manfaat kepada masyarakat khususnya warga emas yang memerlukan.
“Semoga usaha ini dapat dikekalkan supaya terus menjadi simbolik Kerajaan Perpaduan yang stabil di Negeri Sembilan khususnya di DUN Seri Menanti. Terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini,” katanya. – UMNO Online