Hari Wanita Antarabangsa: Norliza Seru Wanita Perkasakan Diri Demi Masa Depan
KUALA LUMPUR, 8 Mac – Wanita perlu terus berusaha memperkasakan diri dengan ilmu dan kemahiran demi membina legasi yang bermakna untuk generasi akan datang, kata Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Norliza Abdul Rahim.
Dalam perutusan sempena Hari Wanita 2025, beliau menekankan bahawa tema tahun ini, “Wanita Beraspirasi Membina Legasi”, bukan sekadar slogan, tetapi satu seruan kepada semua wanita untuk terus melangkah ke hadapan dengan impian yang tinggi.
“Wanita beraspirasi adalah wanita yang membawa perubahan. Kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian semasa, tetapi harus terus memperkasakan diri dengan ilmu, kemahiran, dan daya saing,” katanya.
Beliau turut menyeru agar wanita tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital, terutama dalam era teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat.
“Wanita harus berani meneroka bidang baharu dan menjadi pencetus inovasi demi membina legasi yang gemilang,” tambahnya.
Menurut Norliza, legasi bukan sekadar kejayaan peribadi tetapi warisan untuk masa depan, sama ada melalui peranan sebagai ibu yang mendidik anak dengan nilai murni, pemimpin yang membawa perubahan, atau pendidik yang mencurahkan ilmu kepada generasi muda.
Beliau mengakhiri perutusannya dengan menyeru wanita agar memastikan usaha hari ini bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga demi manfaat generasi akan datang.
“Selamat Hari Wanita kepada semua wanita di luar sana. Anda adalah insan hebat!” katanya.
Norliza, yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), terus komited dalam memperjuangkan kepentingan wanita di Malaysia. – UMNO Online