Hari Wanita Antarabangsa 2025: Noraini Hargai Peranan Wanita Dalam Masyarakat
KUALA LUMPUR, 8 Mac – Hari Wanita Antarabangsa disambut pada 8 Mac setiap tahun di seluruh dunia bagi menghargai peranan dan pencapaian wanita dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, politik, dan sosial.
Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, turut menyampaikan penghargaan kepada wanita di seluruh dunia menerusi sambutan penting ini.
Menurut beliau, Hari Wanita Antarabangsa bukan sekadar satu sambutan, tetapi juga simbol perjuangan hak kesaksamaan gender dan keadilan sosial bagi wanita.
“Hari ini memberi ruang untuk kita merenung kembali perjuangan wanita dalam mencapai hak-hak mereka yang setara dalam semua aspek kehidupan,” kata dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.
Tahun ini, sambutan Hari Wanita Antarabangsa mengangkat tema “Wanita Beraspirasi Membina Legasi,” yang bertujuan untuk mengiktiraf usaha dan sumbangan wanita dalam mencipta perubahan yang berkekalan dan membina legasi untuk generasi akan datang.
Dr. Noraini berharap tema ini dapat memperkukuhkan kesedaran terhadap peranan penting wanita sebagai pemimpin dalam keluarga, masyarakat, dan negara.
“Untuk setiap wanita yang berjuang tanpa lelah, hari ini adalah untukmu! Dunia ini lebih kuat kerana semangatmu yang tidak pernah luntur,” ujar beliau lagi. – UMNO Online