MB Perak Ke Tapah, Imarahkan Ramadan Bersama Masyarakat
KUALA LUMPUR, 7 Mac – Menteri Besar (MB) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah ke Tapah untuk mengimarahkan bulan suci Ramadan bersama masyarakat setempat pada Khamis.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah berbuka puasa bersama kariah Masjid Sultan Nazrin Shah dan solat tarawih di Surau As-Syakirin, Jalan Damai.
“Meneruskan Ramadan ke-5 dengan berbuka puasa bersama kariah Masjid Sultan Nazrin Shah dan kemudiannya solat tarawih di Surau As-Syakirin, Jalan Damai, Tapah.
“Selesai tarawih kemudiannya kami terus moreh dan sembang santai bersama orang-orang Pekan Getah,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berkata, amalan berbuka puasa dan menunaikan solat berjemaah ini mampu mengukuhkan ukhuwah serta mengingatkan tentang nilai kesyukuran.
“Berbuka puasa dan menunaikan solat berjemaah ini bukan sahaja mengukuhkan ukhuwah, tetapi juga mengingatkan kita tentang nilai kesyukuran serta kesederhanaan dalam menjalani ibadah di bulan yang mulia ini.
“Semoga amalan kita diterima dan Ramadan kali ini dapat membawa rahmat serta keinsafan yang mendalam dalam kehidupan kita semua,” katanya. – UMNO Online