Pihak Berkuasa Perlu Tegas, Kekalkan Perpaduan Negara – Pemuda UMNO Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Pemuda UMNO Negeri Sembilan melihat isu-isu yang berlaku mutakhir ini terutama dalam soal membabitkan isu sensitif sama ada melibatkan kaum mahupun agama perlu dipandang serius apatah lagi untuk tempoh masa akan datang.

Justeru ketuanya, Mohamad Fadil Md Zin melontarkan beberapa cadangan ataupun usaha yang boleh diberi perhatian bagi memperkukuhkan perpaduan negara dalam usaha mencegah insiden yang melibatkan isu-isu negatif berulang.

“Antaranya adalah peningkatan kesedaran dan pendidikan silibus perpaduan. Kerajaan dan pihak berkepentingan perlu memperkasakan lagi program pendidikan berasaskan perpaduan di sekolah, institusi pengajian tinggi dan tempat kerja supaya masyarakat lebih memahami dan menghormati kepelbagaian budaya serta agama di Malaysia.

“Keduanya, harus diperketatkan garis panduan media di negara ini. Pihak berkuasa perlu menetapkan garis panduan yang lebih jelas bagi pengamal media agar kandungan yang disiarkan tidak menyinggung mana-mana kaum atau agama. Ketiganya, penganjuran dialog antara kaum agar lebih ramai komuniti cakna dan faham adat resam budaya lain. Kementerian Perpaduan dan pemimpin masyarakat boleh menganjurkan program dialog antara kaum dan agama secara lebih kerap bagi menggalakkan kefahaman serta merapatkan hubungan antara rakyat berbilang bangsa.

“Dan akhir sekali, kita harus memperkasakan nilai Rukun Negara. Setiap rakyat perlu menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian bagi memastikan keharmonian serta kestabilan negara terus terpelihara. Bukan sekadar berikrar atau membacanya di majlis-majlis rasmi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Mohamad Fadil seterusnya menyeru agar semua pihak lebih bertanggungjawab dalam setiap tindakan dan tidak mencetuskan ketegangan yang boleh menggugat perpaduan nasional.

“Pemuda UMNO Negeri Sembilan mengecam perbuatan yang berbaur penghinaan oleh mana mana individu terhadap mana mana agama, bangsa mahupun budaya yang mampu mencetuskan perbalahan antara kaum.

“Perbuatan ini perlu dihentikan serta merta oleh siapapun agar perpaduan yang telah terukir semenjak sekian lama dapat dikekalkan.Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menghina agama, bangsa atau budaya tanpa mengira latar belakang individu terbabit.

“Pihak berkuasa juga tidak boleh pilih kasih dalam pelaksanaan undang undang dan perlu mengambil tindakan yang tegas terhadap pelaku.Marilah kita bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan Malaysia kekal sebagai negara yang harmoni, saling menghormati, dan bersatu padu,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit