Jelajah Ukhwah Ramadan Pererat Perpaduan Masyarakat di Labuan

LABUAN, 5 Mac – UMNO Bahagian Labuan telah menganjurkan program Jelajah Ukhwah Ramadan bagi memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat serta mengambil keberkatan bulan suci ini.

Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, menegaskan bahawa program sebegini memainkan peranan penting dalam mempererat hubungan silaturahim, khususnya dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

“Ramadan adalah bulan yang istimewa untuk kita memperkukuhkan semangat perpaduan dan kebersamaan. Program ini membuka ruang untuk kita mendekati masyarakat serta memahami keperluan mereka dengan lebih dekat,” katanya.

Semalam, Mohd Rafi bersama ahli jawatankuasa serta kepimpinan UMNO Labuan telah menghadiri program Jelajah Ukhwah Ramadan yang berlangsung di Masjid Nur Iman, Kampung Ganggarak.

Program ini turut diisi dengan solat Isyak dan Tarawih berjemaah, di samping sesi ramah mesra bersama masyarakat setempat.

Turut hadir dalam rombongan beliau ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Khalid Abd Ghani; Ketua Pemuda UMNO Labuan, Saudara Saifful Pungot; serta Pengerusi Sekretariat Agama dan Khairat Kematian UMNO Labuan, Tuan Haji Yahya Bakri.

Sebagai tanda sokongan kepada pihak masjid, UMNO Labuan turut menyampaikan sumbangan wang tunai bagi membantu tabung masjid dalam penyediaan moreh sepanjang Ramadan.

Ujar Mohd Rafi, program Jelajah Ukhwah Ramadan akan diteruskan di beberapa lokasi lain dengan pelbagai aktiviti termasuk majlis berbuka puasa, penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf, serta sesi ramah mesra bersama masyarakat.

“Inisiatif ini diharap akan dapat memberi ruang dalm usaha memperkukuh perpaduan di samping memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit