Program Ziarah Kasih… Bukti Semangat Bersama Rakyat Memerlukan – Muhammad Sufian

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi berkata, Program Ziarah Kasih sempena bulan Ramadan diteruskan pada tahun ini dan ia menjadi bukti semangat kebersamaan terhadap rakyat yang memerlukan.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah menziarahi empat buah rumah pada Selasa untuk menyantuni masyarakat setempat.

“Program Ziarah Kasih sempena bulan Ramadan terus berjalan seperti biasa dan ini membuktikan semangat kebersamaan terhadap masyarakat yang memerlukan.

“Hari ini, sebanyak empat buah rumah di Kampung Terachi dan empat buah rumah di Kampung Padang Lebar telah saya ziarahi dalam usaha untuk menyantuni golongan yang memerlukan.

“Setiap rumah yang dikunjungi telah menerima sumbangan wang tunai dan bakul makanan sebagai tanda keprihatinan serta sokongan kepada mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar usaha kecil itu dapat memberikan kegembiraan kepada para penerima di samping membudayakan amalan sedekah dan berbuat kebajikan pada bulan yang suci ini.

“Program ini bukan sahaja membawa bantuan berbentuk keperluan asas malah lebih penting, ianya turut membawa kehangatan kasih sayang dan perhatian kepada mereka yang memerlukan sokongan.

“Semoga usaha kecil ini memberi kegembiraan buat penerima dan menjadi inspirasi kepada orang ramai untuk turut serta dalam amalan bersedekah dan berbuat kebajikan lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh keberkatan ini,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit