UMNO Beaufort Bidas Kenyataan Pas, Tegaskan Jasa BN Di Sabah Tidak Boleh Dinafi

BEAUFORT, 4 Mac – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, membidas kenyataan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid, yang seakan menidakkan jasa dan kepimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan Sabah.

Terdahulu, Sahar dipetik mengeluarkan kenyataan bahawa janji-janji yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk menyelesaikan masalah air, elektrik dan jalan raya di Sabah perlu diteliti sebelum dipercayai.

Menurut Awang Aslee, UMNO/BN telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri ini sejak 34 tahun lalu.

“Bagi memastikan kesejahteraan rakyat, UMNO/BN sebagai kerajaan terdahulu telah melaksanakan pelbagai usaha bukan hanya melibatkan capaian bekalan air bersih dan elektrik hingga ke kawasan luar bandar tetapi juga mewujudkan projek perumahan rakyat (PPR) bagi membantu golongan kurang mampu agar kesejahteraan masyarakat dibela,” katanya kepada UMNO Online.

Awang Aslee menegaskan bahawa sumbangan UMNO/BN terhadap pembangunan Sabah adalah jelas dan tidak boleh dinafikan malah beliau menggesa rakyat agar tidak terpengaruh dengan dakwaan yang mempertikaikan peranan parti itu dalam pembangunan negeri.

Beliau menegaskan bahawa banyak masalah rakyat Sabah berlaku selepas pentadbiran negeri bertukar tangan, sekali gus membuktikan kegagalan kerajaan sedia ada dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Pelbagai masalah khususnya membabitkan keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya yang dihadapi oleh rakyat sekarang ini berlaku selepas UMNO/BN kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan kerajaan baharu yang ada gagal melaksanakan kesinambungan pembangunan yang diusahakan UMNO/BN.”

Awang Aslee turut menyenaraikan beberapa projek utama yang telah dilaksanakan UMNO/BN sepanjang 34 tahun pemerintahannya.

“Antara projek yang telah dijayakan termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan kesalinghubungan serta ekonomi.

“Selain itu, projek jalan luar bandar juga telah dilaksanakan bagi meningkatkan akses ke kawasan pedalaman, manakala pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) telah menjadikannya sebagai hab utama penerbangan di Sabah.

“Dari sudut ekonomi, UMNO/BN telah meningkatkan pelaburan dalam sektor minyak dan gas melalui Petronas serta industri berkaitan. Pembangunan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) turut diperkenalkan bagi menarik pelaburan dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negeri.”

Terangnya, dalam sektor pertanian, pelbagai bantuan kewangan dan subsidi telah disediakan kepada petani serta pekebun kecil melalui FELDA, FELCRA, dan RISDA bagi memastikan mereka mendapat sokongan yang mencukupi.

“Dalam aspek pendidikan dan pembangunan modal insan, UMNO/BN telah menubuhkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi untuk anak-anak Sabah.

“Kemudahan sekolah luar bandar turut dipertingkatkan termasuk melalui Program Bantuan Awal Persekolahan dan pemberian biasiswa kepada pelajar yang memerlukan. Selain itu, pembinaan sekolah-sekolah baharu dan penempatan guru-guru di kawasan pedalaman telah membantu meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini.

“Dalam aspek keselamatan, kerajaan telah menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi menangani ancaman keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE). Kehadiran pasukan keselamatan seperti polis dan tentera di kawasan sempadan dan perairan Sabah turut dipertingkatkan bagi menjamin keselamatan rakyat negeri ini.”

Justeru tegasnya, mana-mana pihak yang cuba menafikan jasa UMNO/BN perlu ‘cermin diri’ kerana bukti nyata bahawa parti tersebut terlalu banyak berjasa kepada rakyat secara holistik. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit