Selamat Menyambut Hari MARA Ke -59
KUALA LUMPUR, 1 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus memainkan peranannya sebagai sebuah institusi memperkasa sosioekonomi Bumiputera.
Menurut beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, sempena ulang tahun penubuhan MARA pada 1 Mac, ianya telah memperlihatkan peranan institusi berkenaan selama lima dekad.
“Tanggal 1 Mac 1966, lahirnya MARA hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama sebagai simbol iltizam negara untuk memperkasa sosioekonomi Bumiputera.
“Usianya yang melangkaui lima dekad telah berjaya membina legasi kecemerlangan dalam dunia pendidikan, keusahawanan dan pembangunan masyarakat,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Kata beliau lagi institusi berkenaan terus kukuh hingga ke hari ini dan diharapkan terus cemerlang melangkah ke depan dengan segala perancangan serta pelaksaan yang terbaik.
“Hari ini, MARA kekal kukuh dan relevan berdiri sebagai sebuah institusi unggul yang memartabatkan agenda pembangunan Bumiputera dan memangkin kemajuan negara keseluruhannya.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari MARA ke-59 kepada seluruh warga MARA yang selama ini telah menyumbang tenaga, ilmu dan komitmen sejak penubuhannya.
“Semoga MARA terus maju sebagai pemangkin kejayaan Bumiputera dan terus membawa manfaat besar kepada agama, bangsa dan negara,” ujarnya.- UMNO Online