Transformasi Bandar Putra, Indahpura: Projek Perintis Bandar Pintar Dan Mampan
KULAI, 28 Feb – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkesempatan menyempurnakan perasmian Inisiatif Bandar Pintar dan Mampan Bandar Putra dan Indahpura.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu, projek perintis ini melibatkan kawasan seluas 5,666.24 ekar di Bandar Putra dan sebahagian laluan utama di Indahpura, bertujuan menjadikan kawasan ini contoh pembangunan lestari.
“Dengan sokongan pelbagai agensi, inisiatif ini pasti akan membawa perubahan besar kepada komuniti setempat. Antara elemen utama yang diperkenalkan termasuk Smart Bin, Smart Street Light, Smart Pedestrian Crossing, sistem pemantauan pintar, serta pelaksanaan bandar rendah karbon.
“Inisiatif ini selaras dengan Pelan Tindakan Bandar Pintar MPKu 2030 yang mengutamakan kecekapan pengurusan bandar dan kesejahteraan penduduk,” katanya dalam satu catatan di laman Facebook.
Tambah Mohd Jafni, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) juga komited dalam membangunkan ‘Digital Twin City’ di mana pemetaan data spatial akan diperluaskan untuk penyelarasan lebih baik antara jabatan dan agensi berkaitan.
“Dengan ini, pengurusan bandar dapat dipantau secara masa nyata dan kecekapan perkhidmatan dapat ditingkatkan.
“Selain itu, pasukan tindakan pantas akan diperkasa untuk menangani isu segera seperti jalan berlubang, lampu jalan rosak, serta pembersihan laluan utama.
“Melalui kolaborasi erat antara sektor awam dan swasta, projek ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa utama yang merangkumi penambahbaikan infrastruktur, integrasi teknologi pintar, dan pembangunan hijau,” kata Mohd Jafni yang turut mengucapkan tahniah kepada pengurusan dan pasukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu lagi.
Jelasnya, inisiatif ini bukan sahaja menjadikan Kulai sebagai bandar pintar, malah meletakkannya sebagai model bandar mampan di negeri Johor.
Katanya, Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi sentiasa komited menjayakan agenda Bandar Pintar.
“Saya sendiri di bawah penyelarasan PLANMalaysia Johor sentiasa memantau rapat 16 PBT Johor komited membangunkan ‘Smart City’ di kawasan PBT masing-masing,” katanya. – UMNO ONLINE