Pengerang: Sesi Libat Urus Jadi Platform Warga FELDA Suara Permasalahan – Azalina
KUALA LUMPUR, 27 Feb – Sesi libat urus akan menjadi platform tetap untuk warga FELDA gunakan bagi menyuarakan segala permasalahan dan pendapat secara terbuka, kata Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa beliau telah berkesempatan menyempurnakan Program Majlis Jalinan Mesra di antara Pusat Khidmat Parlimen Pengerang (P.157) dengan komuniti FELDA.
“Kesempatan jadual di Parlimen yang agak santai hari ini saya manfaatkan untuk balik ke Parlimen Pengerang bagi menyempurnakan Program Majlis Jalinan Mesra di antara Pusat Khidmat Parlimen P.157 dengan komuniti FELDA di sini.
“Saya amat gembira dengan kehadiran lebih 400 orang yang terdiri daripada ketua-ketua blok dari kesemua 10 buah FELDA yang ada di Pengerang dalam acara ini.
“Program ini amat signifikan kerana selaku ketua blok di FELDA masing-masing, mereka mempunyai peranan yang sangat penting selaku pengantara dalam menyampaikan maklumat kepada peneroka. Lebih penting lagi mereka berperanan membawa suara peneroka kepada pihak Parlimen dan kerajaan supaya segala permasalahan dan isu di kawasan akan dapat diselesaikan segera dengan tuntas,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa konsep sesi libat urus ini akan diperluas kepada semua komuniti di Pengerang.
“Antara pengisian program tadi termasuklah taklimat dan ceramah dari Unit Pantau Madani, Kementerian Kewangan yang menerangkan tentang pelbagai inisiatif ditawarkan Kerajaan Madani kepada segenap lapisan rakyat Malaysia.
“Selain itu, pihak Bank Negara Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut melaksanakan kempen celik kewangan dengan tajuk pengurusan kewangan yang baik dan juga bahaya penipuan dalam talian.
“Dengan respon positif hari ini, saya telah memutuskan agar sesi libat urus ini menjadi platform tetap untuk warga FELDA gunakan bagi menyuarakan permasalahan dan pendapat secara terbuka dan mencari penyelesaian bersama. Malah konsep sesi libat urus ini akan diperluas kepada semua komuniti di Pengerang,” katanya lagi. – UMNO Online