Inisiatif Kerajaan Negeri Johor Tangani Isu Pencemaran Sungai Disokong JKKAS
KUALA LUMPUR, 26 Feb – Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) telah bersetuju menyokong untuk kerajaan negeri menetapkan pelaksanaan aktiviti menyahenap cemar tangki septik individu secara berkala untuk mengurangkan beban pencemaran sungai, khususnya bagi premis kerajaan negeri dan agensi.
Perkara tersebut dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh yang berkata demikian usai Mesyuarat JKKAS, dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Selain itu, cadangan penangguhan caj air kembalian (return water) bulanan yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Negeri di bawah peraturan Dasar Pelepasan Sifar (DPS) terhadap Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) sehingga perancangan projek air pulih guna dilaksanakan sepenuhnya.
“JKKAS juga telah bersetuju untuk menggunakan pendekatan Pengurusan Sumber Air Secara Bersepadu (IWRM) selari dengan Pelan Tindakan Air 2040 dengan memperkasa agensi sedia ada untuk bahan pencemar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Pasir berkata JKKAS juga turut bersetuju menggalakkan kaedah inovatif untuk menangani masalah pencemaran sungai melalui hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan melalui NAHRIM Environmental Dredging System (NEDS).
Katanya NEDS direka untuk membuang endapan tercemar tanpa mengganggu ekosistem akuatik secara signifikan, berbeza dengan kaedah pendalaman konvensional yang boleh menyebabkan pencemaran sekunder.
“Saya yakin, peranan dan kerjasama kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri dalam mengawal serts menangani kemerosotan kualiti air sungai di Malaysia dapat dijayakan. Insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online