“Terima Kasih Atas Jasa Dan Pengorbanan”

KUALA LUMPUR, 26 Feb – UMNO Terengganu berbesar hati menganjurkan Majlis Ramah Mesra kepimpinan UMNO Negeri bagi menghimpunkan mantan wakil rakyat negeri itu yang berlangsung semalam.

Majlis ini diadakan untuk menzahirkan penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka kepada rakyat dan parti di samping mengeratkan silaturahim.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat menerusi ucapannya mengharapkan mantan wakil rakyat ini untuk terus membantu memperkasa gerak kerja parti dalam menarik sokongan rakyat kepada parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.

“Tika senang kita bersama, tika susah pun kita masih tetap setia. Hari ini dapat bertemu dan berbicara santai dengan mantan-mantan wakil rakyat yang pernah berjuang untuk masyarakat. Walaupun tidak lagi memegang jawatan, semangat dan jiwa mereka tetap utuh untuk terus menyumbang kepada negeri dan rakyat.

“Setiap patah bicara penuh pengalaman, setiap nasihat menjadi pedoman. Kita hormati jasa mereka, kita teruskan legasi perjuangan demi masa depan yang lebih baik. Terima kasih atas jasa dan pengorbanan. Pengalaman kalian adalah inspirasi buat generasi seterusnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Penyampaian cenderahati turut diberikan sebagai tanda ingatan atas jasa mereka.

Majlis ini juga dimanfaatkan dengan perkongsian idea oleh mereka berkenaan pelbagai isu termasuk hala tuju akar umbi untuk terus memperkasa UMNO di negeri itu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit